MIRI: Projek Delta Batang Baram bakal meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan di Sarawak, sekali gus menjadi asas kukuh kepada pertumbuhan Miri sebagai hab maritim, logistik dan eksport utama di kawasan utara.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, zon ekonomi baharu dibentuk melalui pengumpulan mendapan di sepanjang pesisir pantai akan membuka peluang kepada kemasukan pelaburan serta pengembangan kegiatan perindustrian.
Menurutnya, potensi itu bakal mengukuhkan peranan bandar raya Miri sebagai hab eksport strategik, sekali gus mengukuhkan peranan sebagai pintu keluar kawasan utara Sarawak.
“Bermakna Miri akan mempunyai kawasan baharu yang lahir daripada pengumpulan mendapan dan ini akan menarik pelaburan.
“Kawasan pedalaman juga akan menggunakan pelabuhan ini sebagai pintu keluar,” katanya pada sidang media selepas lawatan Tapak Projek Pengorekan Delta Baram, di sini, hari ini.
“Selain Bintulu yang mengendalikan jenis kargo berbeza, pelabuhan ini akan lebih menumpukan kepada komoditi, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada Miri sebagai pintu keluar eksport di utara.
“Pembangunan ini disokong oleh kerja pengorekan dan kejuruteraan pantai yang sedang giat dilaksanakan, termasuk pembinaan pemecah ombak di kawasan tebing utara dan tebing Selatan bagi menstabilkan pergerakan mendapan serta memudahkan pembentukan daratan baharu.
“Keadaan pantai yang lebih baik ini kelak bukan sahaja membolehkan pembentukan tanah, malah menjamin laluan perkapalan yang lebih selamat dan cekap,” jelasnya.
Jelasnya, keadaan itu membolehkan pergerakan kapal besar dengan lebih baik dan dijangka mencatat kemajuan memberangsangkan menjelang musim monsun berdasarkan perkembangan positif semasa.
Selain berperanan sebagai hab eksport, katanya, tanah baharu yang terbentuk kelak juga berpotensi menyokong kegiatan perindustrian termasuk pembinaan dan pembaikan kapal menerusi penyediaan kemudahan yang lebih tersusun.
“Kedudukan pelabuhan yang berhampiran dengan medan minyak dan gas luar pesisir turut menambah nilai ekonomi kawasan ini, selain rancangan untuk membangunkan perkhidmatan sokongan bagi sektor berkenaan di utara Sarawak,” katanya lagi.
Projek bernilai RM208.9 juta itu mencapai kira-kira 55 peratus kemajuan fizikal dan kini mendahului jadual dengan sasaran siap pada suku keempat tahun ini.
Ia merangkumi kerja-kerja mendalamkan saluran akses kepada paras negatif lima meter, pembinaan dua benteng sepanjang enam kilometer di kedua-dua belah bagi menstabilkan pergerakan mendapan serta menaik taraf alat bantuan pelayaran untuk meningkatkan keselamatan maritim.





