ARTIKEL

Misi baiki ranking

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SKUAD Harimau Malaya akan menentang Papua New Guinea dalam aksi bola sepak Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu pada jam 9 malam ini (Selasa) yang turut disiarkan secara langsung di Astro Arena dan media dalam talian.

Berada di ranking ke-159, Papua New Guinea bukanlah lawan idaman, Malaysia yang sedang berada dalam prestasi menaik sekarang ini.

Oleh itu, tiada alasan bagi anakanak buah Kim Pan Gon untuk gagal meraih kemenangan, apatah lagi setelah membenam skuad ranking ke-134, Kepulauan Solomon 4-1 Rabu lalu setelah ketinggalan 1-0.

Yang pasti, kemenangan tersebut memberikan mata bermakna buat Malaysia, dan satu lagi kemenangan malam ini, pasti akan melebarkan lagi kutipan mata.

Berapa agaknya mata yang diraih Malaysia selepas mengatasi Solomon?

Adakah ia berjaya memperbaiki ranking Harimau Malaya yang kini berada di tangga ke-138 dunia?

Mengikut sumber daripada FIFA, Malaysia meraih 5.21 mata hasil kemenangan tersebut, dan secara keseluruhan mengumpul 1,087.34 mata.

Namun ia belum cukup untuk memintas Turkmenistan yang berada di ranking ke-137, dengan 1,095.20 mata.

Namun, satu lagi kemenangan malam ini, dijangka mengubah kedudukan.

Malah kekal sekalipun, mata tetap berubah, sekli gus semakin mendekati perubahan ranking.

Seperti yang sering ditegaskan oleh jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon, bahawa setiap kali turun ke gelanggang aksi, sama ada perlawanan persahabatan kelas atasan atau bawahan, kemenangan sentiasa menjadi keutamaan, sekalipun ia terpaksa mengorbankan corak permainan.

“Kemenangan sangat penting bagi kami, tanpa mengira bagaimana kami bermain… walaupun bermain buruk, asalkan boleh menang,” tegas Pan Gon.

Beliau tidak bercakap tentang ranking, tetapi setiap kemenangan yang dilakar, sama ada dalam pertandingan atau persahabatan, maka ia secara sendirinya akan ‘bercakap’ tentang ranking.

Ini bermakna, setiap kemenangan akan mempengaruhi kutipan mata, dan ranking negara di persada dunia.

Setelah mengalami transformasi yang agak drastik di bawah rejim Kim Pan Gon, skuad Malaysia kini perlu melangkah setapak lagi, sekurangkurangnya merapatkan jurang ke arah dua gergasi Asia Tenggara, Vietnam (ranking 95) dan Thailand (ranking 114).

Namun kejayaan Pan Gon mengemudi skuad negara ke Piala Asia 2024, membuktikan pasukan bimbingan beliau sebaris Vietnam dan Thailand, yang turut layak.

Kejohanan berprestij itu akan berlangsung pada 12 Januari hingga 10 Februari 2024, dan Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan (27), Jordan (84) dan Bahrain (85).

Apabila sudah sampai ke peringkat ini, tiada lagi pasukan yang dianggap lemah, semua kuat, kerana majoritinya berada di ranking bawah 100 dunia.

Inilah peluang terbaik Malaysia untuk menambah mata, sekali gus meningkatkan lagi ranking.

Sudah pasti, nilai mata lebih besar jika berjaya mengalahkan gergasi Asia, Korea Selatan yang telah pun, 11 kali layak ke Piala Dunia, sejak 1954 hingga 2022.

Malah mereka berjaya ke separuh akhir Piala Dunia 2002, ketika di bawah kendalian Guus Hiddink, namun tewas kepada Jerman.

Korea Selatan merupakan juara dua kali Piala Asia, dan naib juara empat kali. Oleh itu, kejayaan mengalahkan mereka merupakan ‘satu bonus besar’ bagi Malaysia.

Namun ia bukanlah tugas mudah. Malah jika Malaysia berjaya mengatasi Bahrain dan Jordan juga dikira sudah cukup bagus.

Menurut pemerhati Piala Asia, taraf Malaysia, Jordan dan Bahrain, tidaklah terlalu jauh, berbanding Korea Selatan.

Ini bermakna, Malaysia berpeluang untuk melakar kejutan, memburu slot naib juara Kumpulan E, sekurang-kurangnya meneruskan perjuangan, dan ada satu lagi aksi kompetitif bertaraf Asia, yang pasti akan memberikan mata yang lumayan jika menang.

Yang pasti, kempen peringkat awal Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia pada November depan bakal menjadi ujian awal Harimau Malaya untuk mengasah taring sebelum ke Piala Asia 2024.

Sukar untuk meramal peluang Malaysia untuk layak, walaupun kuota ditambah kepada 48 pasukan.

Namun apa yang penting sekurangkurangnya pasukan kita semakin rapat dengan Piala Dunia.

Kuota lapan pasukan dari Asia, dan satu lagi slot melalui aksi “playoff” (8+1).

Malaysia kini berada di ranking ke-25 Asia.

Untuk layak Malaysia sekurang-kurangnya berada di ranking ke-15 hingga 10.

Di atas kertas ia kelihatan sangat sukar, namun dengan adanya transformasi pasukan, dari semasa ke semasa, ia boleh dicapai, mungkin untuk Piala Dunia 2030, atau 2034.

Menurut pemerhati bola sepak Asia, jika ada pasukan dari Asia Tenggara yang boleh layak ke Piala Dunia 2026, mereka ialah Vietnam.

Dengan ranking ke-95 dunia, dan ke12 Asia, Vietnam mempunyai peluang yang lebih baik, berbanding Thailand (114).

Malah pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 yang lalu, Vietnam berjaya ke fasa terakhir, namun masih gagal layak.

Oleh itu, amat penting bagi Malaysia untuk terus memperbaiki ranking, yang bukan sahaja akan membantu dari segi kekuatan dan keyakinan, tetapi juga berpeluang untuk menentang pasukan yang lebih kuat, sekali gus memudahkan kutipan mata dari semasa ke semasa jika menang atau seri.

Peningkatan mendadak skuad Harimau Malaya sejak akhir-akhir ini banyak dibantu pasukan Johor Darul Ta’azim (JDT) yang melahirkan pemain berkualiti tinggi seperti Arif Aiman, Corbin Ong, Safawi Rashid, Syihan Hazmi, Mathew Davies, Syamer Kutty dan beberapa pemain lagi.

Kejayaan JDT bersaing ke Liga Juara-Juara Asia, telah meningkatkan mutu permainan pasukan dan pemain.

Malah JDT juga adalah kuasa dominan dalam Liga Malaysia, bukan sahaja juara banyak kali, tetapi juga mempunyai fasiliti dan sistem latihan bertaraf dunia.

Turut membantu ialah kehadiran pemain neutralisasi seperti Sumareh ketika di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, dan kini Malaysia mempunyai pemain yang lebik baik seperti Paulo Josue, Enderick Felipe dan Lee Tuck.

Kita harus akui, titik perubahan skuad Malaysia dimulai Tan Cheng Hoe, dan kini dimantapkan lagi oleh Kim Pan Gon, yang kaya pengalaman.

Di samping itu, perubahan pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di bawah teraju Datuk Hamidin Mohd Amin sejak 14 Julai 2018, juga menampakkan perubahan dari segi pengurusan dan landskap Liga Malaysia yang lebih kompetitif.

Bekas Setiausaha Agung badan induk bola sepak itu menang tanpa bertanding selepas pencabarnya bekas Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Insititut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, menarik diri.

Yang pasti, kejayaan awal skuad Harimau Malaya setakat ini, adalah kerjasama semua pihak terbabit, yang berani melakukan perubahan, daripada segenap aspek, bukan sekadar pemain, pengurusan, tetapi juga mentaliti, bersedia bekerjasama dengan pihak berkaitan yang boleh membantu meningkatkan imej bola sepak negara.

BERITA LAIN

Sasaran 70 emas realistik

SEBAGAI tuan rumah dan selaku bekas juara tiga kali berturut-turut (1990, 1992 dan 1994), adalah wajar untuk kontinjen Sarawak mengimpikan kejuaraan keempat temasya sukan berprestij

PETROS, PETRONAS dan kejutan gembira

RUPA-RUPANYA masih ada yang tidak berpuas hati apabila Sarawak menggerakkan usaha dan berjaya dalam menuntut haknya terhadap pemilikan padang dan lombong minyak dan gas di

Sihat sebelum sakit

MANFAATKAN lima perkara sebelum lima perkara. Pertama, muda sebelum tua; kedua, sihat sebelum sakit; ketiga, kaya sebelum miskin; keempat, lapang sebelum sibuk dan kelima, hidup

Azam baharu hijrah

NABI Muhammad SAW dan sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah. Di situ bermula kisah Muhajirin dan Ansar bertaut persaudaraan, dan berkembangnya umat Islam lantaran tersebar ke

Ikhlas belajar

SEBELUM memasuki alam pekerjaan atau mengeluarkan titih peluh menjana pendapatan, sudah pasti terdapat mahasiswa mempunyai perancangan kerjaya sendiri. Ada antara mereka mengidamkan untuk bekerja mengikut

Jutawan 60 tahun

PENGARAH Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Wilayah Sarawak Aminuddin Abdul Aziz mendedahkan kepada Suara Sarawak — di Sarawak sekitar 1,700 daripada 850,000 pencarum daripada pelbagai

BERITA TERBARU

Optimum infrastruktur kuasa hidro negara

KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berminat untuk bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad, Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa (IHA) dan Perikatan Boleh Diperbaharui Global

Buaya tersangkut pada mata kail di Sebuyau

SEBUYAU: Disangka ikan besar, rupa-rupanya buaya tersangkut pada mata kail yang dipasang penduduk di sungai Kampung Nat di sini, hari ini. Komander Operasi PBKII KUP