S IAPA kata makanan sihat hambar, membosankan dan hanya sesuai untuk mereka yang sedang berdiet?
Persoalan itu cuba dijawab oleh jaguh muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menerusi Ringside, restoran baharu di Kuching yang menggabungkan hidangan berkhasiat dengan cita rasa serta gaya hidup aktif.
Menariknya, atlet berusia 19 tahun itu mahu menjadikan amalan pemakanan sihat lebih mudah dan dekat dengan masyarakat, terutama mereka yang mahu melakukan perubahan tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula.
Beliau yang mesra dikenali sebagai Jojo berkata, idea membuka Ringside tercetus daripada keinginannya untuk membantu rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup lebih sihat, selain menyediakan pilihan makanan yang disediakan menggunakan bahan berkualiti.
“Sudah tentu ini permulaan kepada sesuatu yang besar.
Ya, ia sebuah perniagaan dan saya mahu menjana keuntungan, tetapi tujuan sebenar saya adalah untuk membantu rakyat Malaysia menjadi lebih sihat.
“Kalau kita lihat statistik, lebih separuh daripada penduduk mengalami masalah berat badan berlebihan dan itu merupakan satu isu yang besar.
“Saya berasakan Ringside boleh memainkan peranan untuk membantu mengubah keadaan itu, walaupun pada skala kecil,” katanya pada sidang media selepas pelancaran rasmi Ringside baru-baru ini.
Kongsinya lagi, perubahan tidak semestinya perlu dimulakan dengan perkara besar kerana memilih makanan yang lebih baik juga boleh menjadi langkah pertama seseorang menuju kehidupan yang lebih sihat.
“Oleh itu, Ringside mengetengahkan hidangan mangkuk dengan jumlah kalori yang ditetapkan bagi memudahkan pelanggan mengetahui kandungan setiap hidangan.
“Tiga pilihan utama di bawah menu istimewa ialah Champion Bowl, Knockout Bowl dan Performance Bowl, dengan harga antara RM18.50 hingga RM22.50,” tambahnya.
Beliau berkata, konsep itu dipilih kerana memberi kebebasan kepada pelanggan untuk menentukan sendiri hidangan yang sesuai dengan pilihan mereka.
“Fokus utama kita ialah hidangan mangkuk kerana ia mudah untuk semua orang.
Ada yang suka ayam, ada yang suka daging.
“Pelanggan boleh pilih asas, protein, serat dan sos sendiri.
Kita akan menambah hidangan utama seperti stik, salmon, salad dan hidangan sampingan secara berperingkat-peringkat,” katanya.
Selain hidangan utama, Ringside turut menawarkan tiga pilihan pencuci mulut, iaitu kek pisang dengan kompot strawberi, kunafa dengan kompot strawberi serta kunafa dengan madu dan yogurt Greek.
Menurut Jojo, pilihan menu berkenaan masih sedang dikembangkan dan lebih banyak hidangan akan diperkenalkan secara berperingkat-peringkat.
Namun, yang mahu dibina oleh Jojo menerusi Ringside bukan sekadar sebuah tempat untuk menikmati makanan. Sebaliknya, beliau mahu restoran itu menjadi ruang pertemuan bagi komuniti yang saling menyokong dalam usaha mengamalkan gaya hidup lebih aktif.
Katanya, Ringside akan mempunyai pemimpin dan duta yang terdiri daripada jurulatih bertauliah dalam pelbagai bidang sukan bagi mengendalikan aktiviti yang terbuka kepada orang ramai.
Antara aktiviti yang dirancang termasuk aktiviti berjalan pantas, larian, latihan bebanan, Pilates dan latihan muay Thai.
“Saya faham bukan semua orang boleh sertai maraton, bukan semua orang boleh buat latihan bebanan atau perkara yang susah.
“Sebab itu, komuniti ini tersedia untuk semua orang.
Kita mahu orang ramai dapat menyertai aktiviti mengikut kemampuan masing-masing,” ujarnya.
Lebih menarik, penyertaan dalam aktiviti komuniti berkenaan adalah percuma.
Sekurang-kurangnya satu aktiviti dianjurkan setiap minggu, manakala kebiasaannya dua hingga tiga aktiviti diadakan dalam tempoh tersebut.
Bagi Jojo, sokongan daripada komuniti penting untuk membantu seseorang kekal bermotivasi dan berdisiplin kerana proses mengubah gaya hidup bukan sesuatu yang mudah dilakukan secara bersendirian.
“Saya sendiri cuba untuk berdisiplin, tetapi sukar untuk melakukan sesuatu dan kekal berdisiplin tanpa komuniti serta orang di sekeliling yang mahu mendorong kita.
“Saya rasa komuniti ini akan membantu orang ramai kekal bermotivasi dan berdisiplin,” jelasnya.
Pelancaran rasmi Ringside turut mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 500 orang hadir menyertai program yang dianjurkan sempena pembukaan restoran berkenaan.
Jojo menyifatkan sambutan itu sebagai permulaan kepada sesuatu yang lebih besar dan berharap Ringside dapat berkembang dari Kuching ke seluruh negara.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong, terutama mereka yang datang untuk menyertai pelancaran.
“Saya rasa ini adalah permulaan kepada sesuatu yang sangat besar.
“Memang ini perniagaan dan saya mahu menjana keuntungan, tetapi pada masa yang sama tujuan sebenar saya adalah untuk membantu masyarakat Malaysia menjadi lebih sihat,” katanya.
Kongsinya, walaupun sesebuah restoran tidak mampu mengubah keseluruhan keadaan kesihatan masyarakat, beliau sudah berpuas hati sekiranya Ringside dapat membantu beberapa individu melakukan perubahan positif.
“Kalau kita dapat membantu dua, tiga atau empat orang menjadi lebih sihat, saya sudah berpuas hati. Saya benarbenar mahu melihat rakyat kita menjadi lebih cergas dan kuat.
“Saya percaya cara terbaik untuk bergerak ke hadapan adalah dengan mempunyai minda yang kuat dan tubuh yang sihat. Itu yang cuba disediakan oleh Ringside,” tambahnya.
Dalam pada itu, Jojo berkata, Ringside akan memulakan operasi di Kuching sebelum mengembangkan operasinya ke seluruh Malaysia, termasuk menembusi pasaran di Semenanjung Malaysia.
“Saya melihat ini sebagai satu peluang yang besar.
Jika ada pelabur yang mahu bersama kami, semua pihak akan mendapat manfaat.
“Keuntungan adalah bonus, tetapi matlamat utama adalah untuk membantu mereka yang mahu menjalani gaya hidup sihat tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik rancangan mengembangkan perniagaan, Jojo berkata, beliau lebih gemar membuktikan komitmennya menerusi tindakan berbanding sekadar bercakap mengenai isu kesihatan dan obesiti.
Katanya, pelaburan yang dibuat dalam perniagaan itu merupakan bukti kesungguhannya untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat.
“Ramai orang bercakap mengenai masalah kesihatan dan obesiti, tetapi saya mahu membuktikan saya benar-benar mengambil berat.
“Ini adalah wang saya, masa saya dan usaha saya sendiri.
Kalau tujuan saya hanya untuk mencari wang, ada banyak cara lain yang boleh dilakukan.
“Tetapi saya benar-benar mahu melihat rakyat Malaysia, khususnya masyarakat di Kuching, mencapai tahap terbaik diri masing-masing,” jelasnya.
Bagi Jojo, Ringside mungkin hanya satu langkah kecil dalam usaha yang lebih besar untuk mengubah cara masyarakat melihat pemakanan dan kesihatan.
Namun, beliau percaya perubahan besar sentiasa bermula dengan langkah kecil, termasuk melalui pilihan makanan yang diletakkan di atas pinggan.



