SIBU: Malaysia LNG Sdn. Bhd. (MLNG) terus memperkasa pendidikan di kawasan luar bandar menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diberi nama Program Jangkauan Luar MLNG Bestari, yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Oya di sini, semalam.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kemudahan dan persekitaran pembelajaran, serta memberi peluang kepada pelajar di luar bandar untuk mendapatkan pendidikan berkualiti.
Naib Presiden Kanan Aset LNG Perniagaan Gas dan Maritim PETRONAS, Abang Yusuf Abang Puteh, dalam ucapannya berkata, program ini dimulakan pada Ogos lalu dan selesai sepenuhnya pada bulan lepas dengan kos hampir RM800,000.
Ia melibatkan penambahbaikan fasiliti sekolah, termasuk makmal, bangunan pentadbiran, serta blok kelas dan asrama yang memberi impak positif kepada lebih 1,000 pelajar.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, MLNG turut menyumbangkan peralatan pembelajaran elektronik untuk mencipta persekitaran pembelajaran yang lebih dinamik dan berteknologi, selaras dengan Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Selain SMK Jalan Oya, bantuan ini turut disalurkan kepada SMK Agama Sibu dan SMK Kampung Nangka,” jelas Abang Yusuf.
Program Jangkauan Luar MLNG Bestari di SMK Jalan Oya dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr. Annuar Rapaee.
Sebagai sebahagian daripada program ini, MLNG juga menganjurkan sesi ‘Pocket Talk’ untuk pelajar tingkatan lima dan enam, bertujuan memberi panduan serta motivasi dalam memilih bidang sains dan teknologi.
Menariknya, PETROSAINS turut diundang untuk memperkenalkan konsep sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) secara interaktif yang pastinya menginspirasikan pelajar.
Abang Yusuf turut menegaskan, MLNG berkomitmen untuk melanjutkan program ini ke sekolah lain di kawasan luar bandar Sarawak, dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Paku Central di Betong dijadualkan sebagai lokasi seterusnya pada minggu depan.
“Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memperkukuhkan pendidikan di seluruh Sarawak,” katanya.
MLNG juga telah melancarkan Program Borneo Bestari tahun lalu, yang bertujuan memberi tajaan kepada 80 pelajar sekolah menengah untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh di Semenanjung Malaysia dan Sekolah Berprestasi Tinggi di Sarawak.
“Ini langkah kami untuk melahirkan bakat muda yang menjadi pemimpin masa depan dalam industri tenaga dan memacu perubahan positif di Sarawak,” ujar Abang Yusuf.
Dengan pelbagai inisiatif ini, MLNG berharap dapat terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar dan memberi peluang yang lebih baik kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan profesional.


