KUCHING: Sebuah motosikal musnah keseluruhan dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Diplomatik, Petra Jaya, di sini, malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.44 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 9.51 malam didapati api telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh orang awam menggunakan air dari parit berhampiran.
“Komander Operasi, PBK II Asmadi Mohamad Nawei memaklumkan bahawa pihak bomba hanya menjalankan pemantauan dan pengesahan keselamatan di lokasi kejadian, serta mengumpul maklumat daripada saksi,” kata kenyataan itu.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.05 malam. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.
Sebanyak enam anggota dengan kekuatan sebuah jentera FRT terlibat dalam operasi ini. — TVS






