BINTULU: Pasukan MT Twelve FC mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul gelaran juara Kejohanan Bola Sepak Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA), Haji Sophie Shariee Edisi Ke-2 2025.
Kelab handalan terbabit mengecewakan WFL United dengan kemenangan tipis 2-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Bintulu petang semalam.
Bekas penyerang sensasi Kuching City FC, Abdul Rahim Abdul Razak, muncul wira MT Twelve FC apabila menjaringkan kedua-dua gol untuk pasukannya.
Lebih manis, Abdul Rahim yang begitu popular dengan panggilan ‘Omm’ dalam kalangan rakan-rakannya turut diumum sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan Penjaring Terbanyak (11 gol).

Sementara itu, gol tunggal pasukan WFL United dijaringkan oleh Healvester Kulisi.
Kejayaan itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM15,000 beserta piala dan pingat. Sebaliknya, wang tunai RM7,000 selain piala dan pingat diterima pemain WFL United selaku naib juara.
Dalam pada itu, pasukan Project Park FC dan Ensumbar FC yang tewas di peringkat separuh akhir sebelum ini masing-masing menerima wang tunai RM3,000 termasuk piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming, dan dua Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Haji Sophie Shariee serta Haji Kharulddin Qalam Daud.






