ARTIKEL

MUKAH MEMBANGUN, ekonomi rakyat subur

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

»INEU DENGAH?

Antara soalan yang sering dilontarkan oleh masyarakat Melanau di Mukah apabila menyambut kedatangan pengunjung dari luar.

Ungkapan yang bermaksud “apa khabar?” dalam bahasa Melanau itu menunjukkan bahawa masyarakat di sini sentiasa menyambut pengunjung dengan hati terbuka sambil bertanyakan khabar mereka.

Sebelum ini, mungkin ramai yang tidak mengenali Mukah kerana ia merupakan sebuah pekan kecil, namun kini pembangunan fizikal sedang giat dilaksanakan.

Umum mengetahui bahawa Mukah kaya dengan adat dan budaya masyarakat Melanau, terutamanya melalui penganjuran Festival Kaul Mukah.

Semasa acara tersebut berlangsung, pengunjung boleh melihat sendiri keunikan adat dan budaya masyarakat Melanau yang dipamerkan di gerai komuniti kampung masing-masing.

Menariknya, acara ini bukan sahaja mempamerkan adat dan budaya masyarakat Melanau di Mukah dan sekitarnya, malah kaum-kaum lain turut berpeluang mempamerkan adat serta budaya mereka.

Hal ini demikian kerana Bahagian Mukah mempunyai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, dengan kaum Melanau sebagai kumpulan etnik majoriti, diikuti Iban, Cina, Melayu dan lain-lain.

Menurut laman rasmi Pejabat Daerah Mukah, Bahagian Mukah terletak di wilayah tengah Sarawak, dan sebahagian besar kawasannya menghadap Laut China Selatan, iaitu merentangi kira-kira 200 kilometer dari Balingian di timur hingga ke Belawai di barat. Mukah merupakan bahagian ke-10 daripada 12 bahagian pentadbiran Kerajaan Sarawak.

Semasa penubuhan Bahagian Mukah pada 1 Mac 2002, wilayah ini merangkumi empat daerah, iaitu Mukah, Dalat, Matu dan Daro, serta empat daerah kecil, iaitu Balingian, Oya, Igan dan Belawai.

Dengan pengisytiharan ini, Daerah Mukah dijadikan pusat pentadbiran Bahagian Mukah. Pada 1 Oktober 2015, Daerah Kecil Belawai dinaik taraf menjadi daerah penuh yang dinamakan Daerah Tanjung Manis.

Kini, Bahagian Mukah mempunyai lima daerah dan tiga daerah kecil.

Pengiktirafan Mukah sebagai sebuah bahagian membuka lembaran baharu dalam jentera pentadbiran negeri ini apabila merangkumi seluruh kawasan pesisiran pantai di bahagian tengah Sarawak.

Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, yang menjadi Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu, menyatakan bahawa pengisytiharan tersebut merupakan satu usaha untuk memperkemaskan lagi pentadbiran negeri ini.

Apabila Mukah diisytiharkan sebagai bahagian baharu, dapat dikatakan bahawa sebuah bahagian ialah wilayah yang cukup kecil untuk membolehkan pentadbiran dijalankan dengan cekap.

“Pada masa yang sama, wilayah ini cukup besar untuk dibentuk sebagai satu unit ekonomi yang boleh bergerak sendiri di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengisytiharan Penubuhan Bahagian Mukah.

Tun Taib turut berharap, dalam proses pentadbiran, akan wujud hubungan yang rapat antara rakyat dengan pegawai kerajaan selepas pengisytiharan tersebut.

Tambahnya, dengan pengisytiharan itu, suara rakyat dari sehari ke sehari menjadi suara kerajaan, dan segala dasar kerajaan akan menjadi penzahiran kepada aspirasi rakyat sendiri.

Sehubungan itu, pembangunan fi zikal yang dilaksanakan di Bahagian Mukah turut membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Sebagai contoh di Daerah Daro, selepas Jambatan Muara Lassa siap dan mula beroperasi sepenuhnya, para peniaga pipus menyatakan bahawa mereka mampu menjual sehingga 1,000 biji pipus sehari.

Menurut mereka, sebelum ini, menjual 100 pipus dalam sehari mengambil masa yang lama untuk dihabiskan.

Pipus ialah isi ikan, udang atau sotong yang dibalut dengan daun nipah, kemudian dipanggang di atas bara api hingga masak.

Hal ini menunjukkan bahawa pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Mukah telah merancakkan ekonomi penduduk setempat, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

Di Daerah Mukah sendiri, musim ikan atau payak merupakan waktu yang dinanti-nantikan kerana Mukah sememangnya terkenal dengan kekayaan hasil lautnya.

Apabila musim tersebut tiba, pelbagai hasil laut memenuhi meja jualan masingmasing di Pasar Basah Mukah.

Pasar ini bukan sahaja dikunjungi oleh masyarakat Mukah, malah pengunjung dari luar seperti Bintulu, Miri dan Sibu turut membeli hasil laut yang dijual di sini.

Bagi mereka yang ingin menikmati hasil laut segar tanpa membawanya pulang, mereka boleh meminta pemilik kedai-kedai di tebingan sungai untuk memasaknya.

Hal ini demikian kerana pemilik gerai di kawasan tersebut menyediakan perkhidmatan memasak hasil laut yang dibeli di Pasar Basah Mukah.

Dengan adanya perkhidmatan ini, sedikit sebanyak ia membantu para peniaga meningkatkan pendapatan mereka.

Justeru, jika berkesempatan, pengunjung boleh mencuba masakan yang disediakan oleh peniaga-peniaga di tebingan sungai tersebut. 

BERITA LAIN

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka

Al-Quran panduan bentuk akhlak

Kejayaan mengkhatamkan al-Quran bukanlah pengakhiran perjalanan seorang Muslim untuk mendalami kitab suci itu, sebaliknya menjadi permulaan untuk memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.

BERITA TERBARU