SELEPAS musim buah, negara kita ketika ini dilanda pula musim jerebu yang nyata mendatangkan keresahan kepada semua orang tanpa mengira usia.
Mana tidaknya, cuaca seolaholah mendung, namun pada hakikatnya suhu pula panas dan pemandangan terutamanya bangunan tinggi terhad.
Ini realiti yang dihadapi oleh kita ketika ini akibat jerebu rentas sempadan berikutan aktiviti pertanian yang berlaku di negara jiran.
Selain itu, ibu bapa juga bimbang akan kesihatan anakanak mereka ketika di sekolah.
Mereka bimbang anak-anak mereka jatuh sakit akibat keadaan cuaca ketika ini.
Ada yang menuntut agar sebarang aktiviti kokurikulum di luar ditangguhkan, malah ada yang memohon agar sesi persekolahan ditangguhkan terlebih dahulu sehingga keadaan reda.
Ini kerana partikel debu dan asap daripada jerebu boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan manusia, khususnya mereka yang mempunyai asma dan penyakit-penyakit lain berkaitan pernafasan yang serius.
Kanak-kanak misalnya lebih rentan kepada kesan negatif jerebu dan penutupan sekolah secara sementara berupaya melindungi mereka sekiranya situasi jerebu semakin memburuk.
Bagaimanapun, keputusan untuk menangguhkan aktiviti luar dan persekolahan disebabkan jerebu biasanya bergantung pada tahap jerebu dan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Selain itu, penutupan sekolah secara sementara berkemungkinan akan menyebabkan berlaku kelewatan dalam sukatan pelajaran.
Pun begitu, apa-apa sahaja keputusan, baik tutup sementara ataupun meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah, ia bergantung kepada keputusan kerajaan.
Selain itu, aktiviti pertanian yang memerlukan pembakaran iaitu secara tebas dan bakar juga perlu ditangguhkan ketika ini, selain dikawal selia secara ketat oleh agensi yang bertanggungjawab dalam hal alam sekitar
. Ini kerana pembakaran dalam keadaan jerebu yang teruk boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan dan pencemaran udara.
Cuaca kering serta berangin yang berlaku semasa jerebu boleh meningkatkan risiko api merebak dan sukar untuk dikawal.
Tambahan pula, asap yang dihasilkan oleh pembakaran pertanian semasa jerebu boleh mengandungi bahan berbahaya yang boleh membahayakan kesihatan manusia terutamanya sistem pernafasan.
Malah kaedah tebas dan bakar dalam pertanian boleh merosakkan habitat alam sekitar dan memberi kesan negatif terhadap fauna dan flora.
Sehubungan itu, kerajaan atau agensi sentiasa proaktif dalam menangani situasi jerebu, namun ia menuntut kerjasama semua pihak agar tidak memudaratkan lagi keadaan jerebu.
Oleh itu, orang ramai dituntut agar tidak memudaratkan lagi keadaan jerebu ketika ini selain menjaga kesihatan masing-masing seperti duduk di rumah dan banyak minum air ekoran cuaca panas dan kering disebabkan oleh jerebu.



