ARTIKEL

JAWAB SOALAN… Uggah menjawab soalan daripada pemberita selepas Majlis Perasmian Festival Animasi dan Permainan Borneo 2026, hari ini.

NADMA sedia laksana pembenihan awan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersedia melaksanakan operasi pembenihan awan bagi membantu menangani cuaca kering di Sarawak, namun pelaksanaannya bergantung kepada kewujudan awan dan keadaan atmosfera yang sesuai.

Timbalan Premier merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata perbincangan dengan NADMA sedang dilakukan bagi menentukan masa sesuai untuk operasi berkenaan.

Menurutnya, beliau turut menghubungi Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim, semalam bagi membincangkan pelaksanaan operasi itu katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Animasi dan Permainan Borneo 2026, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Uggah berkata Sarawak terus memantau keadaan jerebu susulan jumlah titik panas di Kalimantan yang jauh lebih tinggi berbanding Sarawak.

“Sebanyak 7,585 titik panas direkodkan di Kalimantan pada Ogos, berbanding antara 245 hingga 259 titik panas di Sarawak.

“Sehubungan itu, NREB telah diminta berkomunikasi dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), termasuk membawa perkara ini kepada kementerian di Kuala Lumpur supaya isu berkenaan dibawa semula ke Jawatankuasa Jerebu Rentas Sempadan ASEAN,” katanya.

Menurutnya, mekanisme itu penting bagi membolehkan negara anggota ASEAN menyelaras kerjasama menangani masalah jerebu rentas sempadan.

Uggah berkata isu berkenaan turut melibatkan negara jiran, khususnya Brunei, yang berpotensi terjejas sekiranya berlaku kebakaran hutan di kawasan Kuala Baram.

Beliau berkata pihaknya telah memberikan taklimat kepada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai keadaan semasa sebelum Premier menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 Malaysia-Brunei (ALC-27) di Brunei.

Sarawak sebelum ini telah mengemukakan permohonan untuk melaksanakan operasi pembenihan awan dan kini meneliti masa yang sesuai.

Keadaan jerebu rentas sempadan mula menjejaskan beberapa kawasan di Sarawak sejak 8 Ogos lalu apabila tiupan angin membawa asap daripada titik panas di wilayah jiran ke negeri ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU