ARTIKEL

Naib Presiden Indonesia Gibran Rasmi Serah Surat Peletakan Jawatan, Kata Pengerusi Projo

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JAKARTA: Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatan daripada jawatan kedua tertinggi negara itu, menurut ketua kumpulan sukarelawan yang menyokong kempen pemilihannya pada 2024.

Pengerusi Projo Budi Arie Setiadi mengesahkan perkembangan itu, sehari selepas Gibran menyatakan hasrat untuk berundur semasa pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto.

“Benar,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai peletakan jawatan Gibran, seperti dilaporkan agensi berita Indonesia Antara pada Rabu.

Projo, yang diasaskan untuk menyokong bekas Presiden Joko Widodo iaitu bapa kepada Gibran, turut menyokong gandingan Prabowo-Gibran dalam Pilihan Raya Presiden 2024.

Sementara itu, laporan media tempatan lain memetik Budi sebagai mengesahkan bahawa Gibran telah menyerahkan surat peletakan jawatan beliau kepada Presiden Prabowo Subianto semasa pertemuan di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta pada Rabu.

Pada Selasa, Menteri Setiausaha Negara Prasetyo Hadi mendedahkan terdahulu pada hari itu Gibran telah menyatakan hasrat untuk meletak jawatan semasa pertemuan selama dua jam setengah dengan  Prabowo.

Prasetyo berkata Gibran menyampaikan hasrat itu di tengah-tengah perkembangan perundangan yang sedang berlangsung di Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung Indonesia berhubung dokumen kelayakan pendidikannya. – BERNAMA
 

BERITA LAIN

Rolland sedia pertahan kerusi DUN Meluan

PAKAN: Penyandang kerusi DUN Meluan, Datuk Rolland Duat Jubin, bersedia mempertahankan kerusi berkenaan sekiranya dicalonkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13. Rolland berkata, persediaan

BERITA TERBARU

Calon muda, calon tua

P.PRABAKARAN, pemegang rekod calon termuda dalam sejarah pilihan raya Malaysia dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen Ke-14 pada 2018, ketika baru berusia 22 tahun. Beliau