ARTIKEL

Nancy seru wujudkan ekosistem sokong anak muda bina keluarga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Dasar berkaitan keluarga perlu berteraskan ekosistem yang menyokong keperluan generasi muda dan bukan sekadar seruan untuk mereka segera berkeluarga, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata suara anak muda perlu diangkat kerana ramai dalam kalangan mereka masih berhasrat untuk berkahwin dan membina keluarga, namun berdepan pelbagai kekangan seperti kos sara hidup, pekerjaan tidak stabil, kekurangan akses penjagaan anak dan kebimbangan terhadap masa depan.

“Maka, penyelesaian yang diperlukan ialah ekosistem yang menyokong, bukan sekadar seruan untuk berkeluarga dengan segera,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan Hari Penduduk Sedunia 2025, hari ini.

Nancy berkata isu kependudukan pada masa ini perlu dilihat sebagai satu krisis semasa yang memerlukan tindakan dasar yang inklusif dan progresif, sejajar dengan perubahan demografi dan harapan generasi muda.

Malaysia kini mencatatkan Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) sebanyak 1.7 anak, jauh di bawah paras penggantian 2.1 anak, selain kadar kelahiran juga menurun lebih 11 peratus pada suku pertama 2025 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bersempena dengan Hari Penduduk Sedunia yang disambut pada 11 Julai setiap tahun, tema 2025 bertajuk “Memperkasa golongan muda untuk membentuk keluarga yang mereka inginkan dalam dunia yang adil dan penuh harapan” dipilih bagi menekankan keperluan mendengar suara dan keperluan anak muda.

KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menzahirkan komitmen untuk terus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu kependudukan termasuk hak kesihatan reproduktif, perubahan demografi, kesejahteraan keluarga dan pembangunan mampan.

Seiring dengan itu, kementerian memberikan tumpuan kepada pelaksanaan strategi menyeluruh bagi menyokong perancangan keluarga golongan muda, antaranya melalui subsidi Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) kepada 1,300 pasangan suami isteri yang layak, kemudahan penjagaan anak serta cuti ibu bapa yang lebih fleksibel.

Acara kemuncak sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 akan diadakan pada 21 Julai ini (Isnin) di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia, di ibu negara dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia, Universiti Malaya (UM) dan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).

Selain itu, sambutan turut diperluas ke peringkat negeri sepanjang Julai dan Ogos melalui penganjuran seminar bertemakan kependudukan dan keluarga yang digerakkan oleh pejabat negeri LPPKN bersama rakan strategik di seluruh negara.

Maklumat lanjut mengenai sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 boleh diperoleh melalui laman web rasmi LPPKN www.lppkn.gov.my dan Hab Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga melalui https://mprh.lppkn.gov.my. — BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan