KUANTAN: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menzahirkan rasa syukur selepas dikurniakan Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) yang membawa gelaran Dato’ Sri, hari ini.

Penganugerahan itu disampaikan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, di sini.
Nanta berkata, penganugerahan berkenaan merupakan penghormatan tinggi yang disifatkan sebagai amanah besar untuk dijunjung dengan penuh rasa syukur dan rendah hati.
“Semoga kurniaan ini menjadi pembakar semangat untuk patik (saya) terus mencurahkan khidmat bakti dengan penuh iltizam dan integriti demi rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Nanta turut mendoakan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 baginda.
Beliau mendoakan agar baginda sentiasa berada dalam limpah rahmat Tuhan, dipanjangkan usia, dikurniakan keafiatan serta terus memerintah dengan penuh kebijaksanaan demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri.
Untuk rekod, seramai 52 individu menerima darjah kebesaran dan pingat pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur.



