MUKAH: Komuniti maritim dan golongan nelayan diingatkan supaya tidak memandang ringan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika berada di laut, tegas Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah.
Menurutnya, pematuhan SOP adalah penting bagi mengurangkan risiko kemalangan serta memudahkan operasi menyelamat sekiranya berlaku kecemasan.
“Aspek keselamatan pelayaran perlu sentiasa diberi keutamaan memandangkan warga maritim berdepan pelbagai risiko ketika menjalankan aktiviti harian di laut.
“Setiap pemilik dan pengemudi vesel bertanggungjawab memastikan bot berada dalam keadaan baik serta diselenggara mengikut jadual sebelum turun ke laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Eksesais Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) Mukah 2026 di perairan Laut Mukah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, setiap vesel mestilah dilengkapi dengan peralatan keselamatan yang mencukupi seperti jaket keselamatan, alat pemadam api yang berfungsi serta peralatan komunikasi yang sempurna.
Jelasnya, langkah pencegahan awal ini amat penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, selain memudahkan operasi menyelamat sekiranya berlaku kecemasan di perairan.

Sehubungan itu, Suffian memberitahu, latihan simulasi kebakaran sebuah bot nelayan turut dilaksanakan dalam latihan tersebut, kira-kira empat batu nautika di barat laut muara Mukah bagi menguji tahap kesiapsiagaan agensi penyelamat dalam menghadapi situasi kecemasan.
“Simulasi ini membabitkan sebuah bot nelayan yang membawa lima kru sebelum Pusat Sub-Penyelamat Maritim (MRSC) Kuching mengaktifkan operasi pada 9.20 pagi.
“Latihan selama enam jam ini melibatkan 160 peserta daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Sarawak Coast Guard, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan serta Kementerian Kesihatan.
“Menerusi latihan, empat mangsa berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum operasi ditamatkan secara rasmi pada 3 petang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Suffian menggesa nelayan dan semua pengguna laut supaya tidak bertangguh melaporkan sebarang insiden kecemasan yang berlaku di perairan negara.
Tegasnya, dengan tindakan pantas itu, ia membolehkan bantuan disalurkan dengan segera.
“Sekiranya berlaku kecemasan di laut, orang ramai diminta segera menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim yang berhampiran supaya tindakan menyelamat dapat dilaksanakan secepat mungkin,” tambahnya.








