KUCHING: Seorang nelayan lelaki dijatuhi hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana mencuri sebuah motosikal milik seorang wanita pada 29 September lalu.
Zakhirman, 48, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri sebuah motosikal milik seorang wanita berusia 35 tahun.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Merbau, sekitar jam 1.34 petang, pada 29 September 2025.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu memaklumkan kepada pihak polis bahawa motosikal miliknya telah dicuri.
Motosikal yang diletakkan di hadapan sebuah kedai makan itu telah dicuri dan kejadian tersebut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).
Anggaran kerugian yang dialami mangsa adalah sekitar RM3,000.
Tertuduh berjaya ditangkap oleh pihak polis pada 2 Oktober lalu di sebuah rumah di Bandar Baru Samariang.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah mencuri motosikal pengadu berdasarkan pengecaman dan rakaman CCTV.
Tertuduh juga mengaku mencuri motosikal tersebut dengan mencabut wayar sebelum melarikannya.
Selain itu, motosikal yang dirampas daripada tertuduh menunjukkan nombor casis enjin adalah milik pengadu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



