KATHMANDU: Pihak berkuasa Nepal memaklumkan pada Khamis bahawa negara itu telah memulakan proses untuk mengisytiharkan secara sah kematian ribuan orang yang masih hilang susulan bencana banjir besar pada musim panas lalu, tiga bulan selepas bencana itu berlaku.
Dilaporkan bahawa sebuah glasier di kawasan altitud tinggi di sempadan Nepal-China runtuh pada 26 Ogos, mencetuskan aliran deras merangkumi air, ais, batu-batuan, dan serpihan runtuhan.
Di Nepal, banjir tersebut telah mengorbankan lebih 1,400 orang, manakala lebih 5,500 orang lagi dilaporkan hilang.
“Kami sudah memulakan proses untuk mengisytiharkan mereka yang hilang sebagai telah meninggal dunia dengan mengesahkan butiran peribadi mereka,” kata jurucakap pihak berkuasa pengurusan bencana, Ram Bahadur KC, kepada AFP.
Pihak berkuasa Nepal telah mengeluarkan notis awam menyenaraikan kira-kira 4,000 orang yang hilang, termasuk 623 warga asing, serta meminta orang ramai mengemukakan bantahan atau pembetulan sebelum pengisytiharan rasmi dibuat.
Nama-nama lain boleh ditambah selepas pengesahan lanjut dan kerajaan dijangka mengeluarkan pengisytiharan kematian sebaik sahaja prosedur undang-undang diselesaikan.
Langkah ini menyusuli pindaan undang-undang Nepal bulan lalu, yang memendekkan tempoh menunggu untuk mengisytiharkan mangsa bencana sebagai meninggal dunia daripada 12 tahun kepada kira-kira enam minggu.
Banjir tersebut merupakan salah satu bencana alam paling dahsyat dalam sejarah negara yang terletak di banjaran Himalaya itu.
Walaupun operasi menyelamat telah dijalankan berminggu-minggu lamanya dan melibatkan ratusan petugas yang mencari di dalam timbunan serpihan dan lumpur, namun hanya sebilangan kecil mangsa yang hilang ditemukan dalam keadaan hidup.
Setakat ini, hanya 112 mayat telah dikenal pasti dan diserahkan kembali kepada keluarga masing-masing.
Ketiadaan sijil kematian menyebabkan banyak keluarga tidak dapat menuntut pampasan, memindahkan hak milik harta atau menyelesaikan urusan undang-undang yang lain.
Malah ada sesetengah ahli keluarga telah mengadakan upacara pembakaran mayat secara simbolik bagi mereka yang jasadnya tidak pernah ditemui. – AFP



