ARTIKEL

NILAI DIRI seorang wanita

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Tajuk: Becoming High Value Women

Penulis: Meisya Sallwa Tahun: 2024

Muka surat: 192

Diterbitkan: PUTEH PRESS

Dicetak: BS PRINT (M) SDN. BHD

Hak Cipta: Open Bridge Publication

BUKU Becoming High Value Woman karya Meisya Sallwa merupakan karya pembangunan diri yang ditulis khusus untuk wanita moden yang mahu memperkukuh jati diri, keyakinan dan maruah dalam dunia serba pantas masa kini.

Buku ini menampilkan pendekatan segar dalam membina nilai diri wanita dari sudut psikologi, sosial dan spiritual.

Ia muncul dalam konteks masyarakat yang semakin terbuka kepada suara wanita, namun masih terikat dengan norma tradisional yang membataskan kebebasan pilihan mereka.

Tema utama buku ini ialah transformasi seorang wanita biasa menjadi wanita bernilai tinggi atau high value woman.

Penulis menegaskan bahawa nilai tinggi bukan diukur melalui rupa, status atau kekayaan, tetapi melalui minda, prinsip dan tindakan yang konsisten terhadap tujuan hidup.

Selain itu, buku ini memupuk kesedaran bahawa kelemahan bukanlah kegagalan, tetapi asas kepada perubahan.

Penulis mengajak pembaca menjadikan kesilapan sebagai bahan bakar pertumbuhan diri.

Penulis menolak idea persaingan tidak sihat antara wanita, sebaliknya mengajak mereka saling memperkukuh dan memperkasakan komuniti wanita yang positif.

Buku ini juga membawa maksud kebebasan memilih dan penentuan nasib sendiri.

Penulis menegaskan bahawa wanita perlu menjadi “tuan atas diri sendiri” dan berani membuat keputusan berdasarkan keinginan, bukan semata-mata kewajipan sosial.

Sudut pendidikan dan pembangunan diri juga digarap dengan baik, apabila penulis menekankan bahawa menjadi wanita bernilai tinggi tidak boleh dipisahkan daripada proses pembelajaran berterusan dan keinginan untuk memperbaiki diri.

Dalam konteks sosial, buku ini menampilkan maksud wanita moden dalam dunia digital, selain mengaitkannya dengan cabaran media sosial, tekanan kecantikan dan persaingan kerjaya sebagai faktor yang menguji nilai sebenar seorang wanita.

Secara keseluruhan, nilai dan mesej dalam buku ini membentuk kerangka kukuh yang menjadikan karya ini bukan sekadar panduan motivasi, tetapi cerminan perubahan sosial wanita di Malaysia dan Asia Tenggara.

Selain menggalakkan sokongan sesama wanita, buku ini menekankan nilai keyakinan diri sebagai asas kepada keseluruhan naratif.

Wanita digalakkan mempercayai keupayaan diri sendiri tanpa bergantung pada pengesahan pasangan, keluarga atau masyarakat.

Penulis turut mengangkat nilai tanggungjawab terhadap diri sendiri dan menyeru wanita agar berani mengambil alih kawalan terhadap hidup serta keputusan mereka tanpa menunggu keadaan yang sempurna.

Buku ini juga menanam nilai integriti dan kesedaran diri, apabila penulis menggesa wanita supaya hidup selaras dengan nilai yang mereka anuti dan tidak menipu diri demi penerimaan sosial.

Nilai pendidikan dan pengembangan diri menjadi penggerak utama buku ini.

Penulis menekankan kepentingan membaca, belajar dan terus berkembang supaya wanita tidak terperangkap dalam zon selesa.

Penulis menegaskan bahawa wanita bernilai tinggi tidak akan merendahkan diri untuk mendapatkan perhatian, sebaliknya menegakkan maruah mereka dengan tenang.

Secara keseluruhan, penulis  mengetengahkan nilai moral yang selari dengan aspirasi feminisme sederhana serta memperjuangkan kebebasan wanita tanpa menolak peranan tradisional mereka dalam masyarakat.

Kelebihan utama buku ini ialah kejelasan matlamatnya, iaitu penulis mempunyai visi yang jelas untuk menjadikan wanita yakin, berdikari dan bermaruah.

Dari segi penyampaian, bahasa yang digunakan mudah, segar dan sesuai untuk golongan muda.

Gaya ini membantu penyampaian mesej tanpa kelihatan mengelirukan.

Buku ini juga berjaya menghubungkan teori motivasi dengan realiti kehidupan seharian. Ia tidak bersifat abstrak, sebaliknya berpijak pada pengalaman sosial dan emosi wanita masa kini.

Satu lagi kelebihan ialah keterangkuman perspektif, apabila penulis tidak mengehadkan konsep “wanita bernilai tinggi” kepada golongan berkerjaya sahaja, tetapi turut merangkumi ibu, pelajar dan usahawan.

Penggunaan contoh dan kisah kehidupan menjadikan buku ini mudah dihayati. Ia mengingatkan pembaca bahawa perjalanan membina nilai diri bukan sesuatu yang berlaku dalam semalam.

Dari sudut penerbitan, buku ini mempunyai reka bentuk yang menarik dan mudah diakses.

Panjangnya sederhana, iaitu 192 halaman, sesuai untuk bacaan ringan, namun padat dengan mesej.

Penulis juga berjaya menampilkan diri sebagai suara wanita generasi baharu yang memahami tekanan dunia moden seperti media sosial,imej dan keinginan untuk diiktiraf.

Nilai praktikal buku ini menjadikannya sesuai dijadikan bahan bacaan komuniti wanita, sesi latihan motivasi atau program pembangunan diri.

Namun demikian, buku ini turut mempunyai kelemahan, antaranya kekurangan rujukan akademik atau saintifi k bagi menyokong pandangan penulis.

Pembaca yang mencari hujah empirikal atau teori psikologi mungkin mendapati buku ini lebih berbentuk inspirasi berbanding analisis mendalam.

Selain itu, sasaran audiensnya agak sempit, iaitu lebih sesuai untuk wanita muda bandar berpendidikan tinggi dan kurang relevan bagi wanita yang hidup dalam konteks sosioekonomi berbeza seperti di luar bandar serta golongan wanita miskin.

Dari sudut struktur, buku ini kadangkala kurang tersusun secara modul atau langkah praktikal.

Pembaca mungkin sukar melihat kesinambungan antara bab sekiranya tidak membacanya secara menyeluruh.

Selain itu, gaya bahasa yang kadangkala terlalu ringan dan berulang menunjukkan ruang penambahbaikan dari segi penyuntingan.

Buku ini juga tidak banyak menyinggung isu sistemik seperti diskriminasi gender atau patriarki secara mendalam, menjadikannya lebih bersifat peribadi berbanding analisis sosial.

Walau bagaimanapun, kelemahan ini tidak menjejaskan niat penulis untuk menyampaikan mesej pemberdayaan wanita secara positif dan praktikal.

Secara keseluruhannya, Becoming High Value Woman ialah sebuah karya yang berani, optimistik dan mengangkat suara wanita dengan nada yang membina.

Ia sesuai dijadikan bahan refl eksi diri, motivasi serta permulaan kepada perubahan.

Kesimpulannya, buku ini menegaskan bahawa nilai sebenar wanita bukan diukur melalui penampilan atau status, tetapi melalui keberanian membuat pilihan, keupayaan bertindak dan kesediaan menghargai diri sendiri.

Ia merupakan seruan lembut untuk setiap wanita mengenali dirinya semula dan menjadi versi terbaik dirinya yang sebenar.

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU

Pilih makanan halal, berkhasiat

SOALAN: Adakah Islam mengajar umatnya supaya sentiasa memilih makanan berkhasiat? JAWAPAN: Ya, Islam mengajar umatnya supaya memilih makanan yang halal, baik dan berkhasiat demi menjaga

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan