ARTIKEL

Norma dan adab

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ANDA tentu sudah mengetahui rakaman video tular sekumpulan pelancong Malaysia di China yang menjerit perkataan seperti “busuk” dan “tak mandi” sambil menutup hidung ketika berada di tempat awam. 

Bagaimanakah reaksi dan perasaan anda ketika menyaksikan video berkenaan? Ya, seorang wanita yang bagai kehilangan akal kerana menjerit dan menghina orang lain di negara orang? Saya tentu amat kecewa, marah dan kesal.

Walaupun video asal telah dipadam dan individu yang dikaitkan dengan insiden itu tampil memohon maaf secara terbuka, kesannya terus berpanjangan apabila rakaman tersebut tersebar luas serta mengundang kecaman dan kritikan masyarakat tempatan dan antarabangsa. 

Peristiwa ini seharusnya dilihat lebih daripada sekadar kontroversi media sosial. Ia menjadi peringatan penting tentang nilai adab, kesopanan dan tanggungjawab yang perlu sentiasa dijaga, terutama apabila seseorang berada di negara orang. 

Itulah sebabnya, peribahasa Melayu ada mengingatkan, terlanjur perahu dapat diundur, terlanjur kata buruk padahnya.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna sama sekali. Itulah sebabnya, pentingnya menjaga mulut, adab dan perlakuan setiap masa. 

Sebagai pelancong, kita bukan sahaja mewakili diri sendiri, tetapi secara tidak langsung membawa imej keluarga, masyarakat dan negara. Disebabkan pelakuan buruk dua tiga rakyat Malaysia itu, nama baik dan reputasi negara, terjejas teruk. Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit.

Hakikatnya, setiap negara mempunyai budaya, norma sosial dan cara hidup yang berbeza. Yang dianggap biasa di satu tempat mungkin kelihatan janggal di tempat lain. 

Perbezaan itu tidak harus menjadi alasan untuk memperlekehkan atau menghina orang lain. Sebaliknya, perbezaan budaya seharusnya menjadi ruang untuk kita belajar, memahami dan menghormati antara satu sama lain.

Tindakan merakam individu tidak dikenali sambil mengulas mengenai penampilan atau bau badan mereka, walaupun mungkin dilakukan secara spontan, tetap menimbulkan persoalan tentang sensitiviti dan empati. 

Lebih membimbangkan apabila rakaman tersebut dikongsi di media sosial yang membolehkan penghinaan itu ditonton oleh jutaan orang. Perkara yang mungkin dianggap gurauan oleh segelintir pihak boleh diterima sebagai penghinaan yang mencalarkan maruah individu lain.

Adab bukan sekadar soal bahasa yang digunakan. Adab ialah cerminan nilai kemanusiaan. Ia merangkumi cara kita bercakap, bertindak, berinteraksi dan menghormati orang lain. 

Dalam tradisi masyarakat Timur, termasuk budaya Melayu dan Asia, adab sering dianggap lebih tinggi nilainya daripada ilmu.

Seseorang mungkin memiliki pendidikan yang tinggi, tetapi tanpa adab, segala kelebihan itu akan kehilangan makna. Pandai atau berpelajaran tinggi tidak semestinya bijak dan arif.

Perkembangan teknologi hari ini menjadikan adab semakin relevan dan penting. Malangnya, dalam dunia yang mengejar nama dan pengaruh atau penarafan, adab sering diketepikan.

Dahulu, kesilapan mungkin hanya disaksikan oleh beberapa individu di sekeliling. Kini, satu tindakan yang dirakam boleh menjadi tontonan dunia dalam masa beberapa minit. 

Yang berlaku di dalam sebuah kereta api di China dapat menjadi tajuk berita di negara lain, malah dibincangkan dalam program media antarabangsa. Fenomena ini menunjukkan bahawa sempadan digital hampir tidak lagi wujud.

Setiap pengguna media sosial perlu memahami bahawa ruang digital bukan tempat yang bebas daripada tanggungjawab moral. Sebaliknya, ia menuntut tahap disiplin yang lebih tinggi. 

Sebelum merakam, memuat naik atau berkongsi sesuatu kandungan, kita perlu bertanya kepada diri sendiri: adakah tindakan ini menghormati maruah orang lain? Adakah ia akan menimbulkan salah faham atau kebencian? 

Dan yang paling penting, adakah kita sanggup menerima layanan yang sama sekiranya berada di tempat individu tersebut? Kita perlu sensitif dan memiliki empati atau meletakkan diri kita dalam keadaan orang lain. Kita tidak seharusnya mudah menjatuhkan hukuman.

Masyarakat juga perlu mengambil pendekatan yang seimbang dalam menilai sesuatu insiden. 

Permohonan maaf yang dibuat oleh individu terlibat menunjukkan kesedaran terhadap kesilapan yang berlaku. Dalam budaya kita, memohon maaf memerlukan keberanian dan kerendahan hati. 

Jika seseorang telah mengakui kesalahan serta berusaha memperbaikinya, maka ruang untuk pembelajaran dan pemulihan juga perlu diberikan. Kritikan perlu bertujuan mendidik, bukannya menghukum tanpa kesudahan.

Namun, pemberian ruang kedua tidak bermakna kita mengabaikan pengajaran daripada insiden tersebut. Masyarakat perlu menjadikannya sebagai peringatan bahawa adab tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan moden. Sama ada ketika melancong, bekerja, belajar atau berinteraksi di alam maya, adab tetap menjadi asas kepada hubungan yang harmoni.

Setiap tindakan individu boleh mempengaruhi persepsi orang luar terhadap negara kita. Dalam dunia yang saling terhubung hari ini, seorang pelancong sebenarnya berperanan sebagai duta tidak rasmi negara.

Kemajuan masyarakat atau negara tidak hanya diukur melalui pencapaian ekonomi atau teknologi atau taraf pendidikan seseorang, tetapi juga melalui ketinggian adab. Kita mungkin tidak mampu mengawal pandangan atau tingkah laku orang lain, tetapi kita sentiasa mempunyai pilihan untuk bertindak dengan hormat, berempati dan berhemah.

Ketika melancong ke negara orang, bawalah rasa ingin tahu, bukan prasangka. Bawalah rasa hormat, bukan penghinaan. Dan yang paling penting, bawalah adab yang baik kerana itulah identiti sebenar yang akan terus dikenang, jauh lebih lama daripada mana-mana rakaman video yang pernah tular.

• Dato Dr Jeniri Amir suka mengembara ke negara luar untuk mempelajari sejarah, budaya dan kehidupan manusia.

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU