MIRI: Mohamad Nurhasri Maxzakir meneruskan legasi bapanya dengan meraih kemenangan pingat emas dalam silat olahraga kategori Putra E.
Dia menewaskan pesilat Pahang, Muhammad Raden Sabry Mohd Insan, dengan meraih pungutan mata 60 berbalas 58 semalam.
Sepanjang berlangsungnya perlawanan tersebut, Nurhasri berdepan saingan sengit untuk menewaskan pihak lawan.
Dengan kekuatan yang dimiliknya, dia berjaya melepasi pusingan pertama.
Namun, Nurhasri ketinggalan sebanyak enam mata di pusingan kedua pada minit terawal.
Namun demikian, dia berjaya bangkit semula dengan mengumpul 28 mata hingga ke pusingan terakhir untuk akhirnya berjaya menghadiahkan kemenangan buat dirinya serta pasukan Sarawak.
Di sebalik kecekalan serta ketabahan Nurhasri dalam meraih kemenangan, dia sentiasa berpegang teguh kepada setiap pesanan bapanya.
“Bagi meraih kemenangan ini sememangnya bukan perkara yang mudah tetapi satu sahaja yang saya kena ingat, iaitu pesanan bapa saya.
“Bapa saya selalu berpesan bahawa ketika berdepan dengan sebarang cabaran, mental kita mesti kuat,” katanya ketika ditemu bual.
Seawal usia 20 tahun, Nurhasri yang berasal dari Kuching itu telah menyumbang kejayaan dalam sukan silat.
Minatnya terhadap acara tersebut bermula sejak beumur 10 tahun.
Katanya, dia menceburkan diri dalam bidang sukan itu kerana ingin mengikut jejak abangnya yang merupakan pesilat negara, dan juga bagi meneruskan legasi bapanya.
“Saya terinspirasi dengan pencapaian keluarga saya dalam bidang silat ini.
“Abang saya adalah pesilat negara, dan saya bercita-cita untuk mengikut jejaknya,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas tentang pencapaian yang diraih anaknya itu, bapa kepada Nurhasri, iaitu Maxzakir Othman, berkata bahawa beliau amat berbangga bukan sahaja terhadap Nurhasri tetapi kepada anaknya yang lain yang turut menyerlah dalam seni pertahanan diri berkenaan.
“Sebagai seorang bapa, saya amat berbangga bukan hanya sekadar terhadap pencapaian Nurhasri tetapi terhadap abangnya juga.
“Kedua-dua anak saya mempunyai minat mendalam terhadap silat.
“Abang Nurhasri, iaitu Mohd Abdul Latip, juga sebelum ini pernah memenangi pingat emas pada temasya SUKMA.
“Saya bangga dengan kedua-dua anak saya kerana berkat dedikasi dan pengorbanan mereka, ia telah membuahkan hasil,” tegasnya.
Bapa Nurhasri, Maxzakir Othman, pernah mendapat gelaran Juara Silat Dunia pada 1994 di Hat Yai, Thailand.



