ARTIKEL

Obsesi bukannya cinta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

CINTA sepatutnya membuatkan seseorang berasa tenang. Cinta juga sepatutnya menjadi tempat kita pulang apabila dunia terasa begitu melelahkan.

Namun, tidak semua hubungan yang bermula dengan ungkapan cinta akan berakhir dengan kebahagiaan. 

Ada yang bermula dengan perhatian, disusuli rasa memiliki kemudian bertukar menjadi kawalan.

Apabila kawalan itu semakin melampau, hubungan yang pada awalnya disangka penuh kasih akhirnya berubah menjadi sebuah penjara.

Ramai masih menyangka sikap terlalu cemburu, terlalu ingin mengetahui setiap pergerakan pasangan dan terlalu mahu menguasai hidup orang yang dicintai bukti kasih sayang.

Hakikatnya, itulah antara sempadan yang membezakan cinta dengan obsesi. Cinta menghormati. Obsesi menguasai.

Cinta memberi kebebasan. Obsesi merampasnya sedikit demi sedikit sehingga pasangan tidak lagi sedar dirinya sedang dikawal.

Pada 2023, seorang wanita berusia 29 tahun menghadiri sebuah konsert di Bandung, Indonesia. Di situlah dia berkenalan dengan seorang lelaki. Seperti kebanyakan kisah perkenalan, semuanya bermula dengan senyuman, perbualan dan harapan untuk membina sebuah hubungan.

Namun siapa sangka, pertemuan yang disangka membawa bahagia akhirnya menjadi permulaan kepada mimpi ngeri yang berpanjangan.

Wanita itu dilaporkan hilang daripada pengetahuan keluarganya. Selama tiga tahun, dia didakwa dikurung, dianiaya dan dipisahkan daripada dunia luar. Dia tidak lagi bebas bertemu keluarga, tidak dapat meminta pertolongan, malah hidupnya dikawal sepenuhnya oleh lelaki yang suatu ketika dahulu mendakwa mencintainya.

Minggu lalu, kisah itu menggemparkan Indonesia dan negara-negara jiran. Lelaki terbabit meninggalkan wanita itu di sebuah hospital dalam keadaan kritikal. Pada mulanya dia mendakwa mangsa mengalami kemalangan jalan raya tetapi siasatan awal mendapati cerita itu tidak benar. Keadaan fizikal wanita tersebut dipercayai berpunca daripada penderaan yang berlarutan selama bertahun-tahun.

Membaca berita itu membuatkan saya termenung lama. Bagaimana seseorang yang mendakwa mencintai boleh berubah menjadi individu yang merampas kebebasan, maruah dan masa depan orang yang disayanginya?

Jawapannya mudah. Kerana itu bukan cinta. Itu ialah obsesi. Ramai orang masih gagal membezakan antara cinta dengan obsesi. Ada yang menyangka apabila seseorang terlalu cemburu, terlalu mengawal atau terlalu ingin memiliki, itu tanda kasih sayang yang mendalam.

Sebenarnya tidak. Cinta tidak pernah mengurung. Cinta tidak memisahkan seseorang daripada ibu bapanya.

Cinta tidak menghalang pasangan daripada berkawan, bekerja atau mengejar impian.

Lebih penting lagi, cinta tidak menggunakan ketakutan sebagai alat untuk mengekalkan sebuah hubungan.

Obsesi pula berbeza. Obsesi melihat pasangan sebagai hak milik, bukannya insan yang mempunyai hak membuat keputusan sendiri.

Sebab itu, apabila pasangan mahu meninggalkan hubungan, individu yang obses sering gagal menerimanya. Mereka sanggup mengugut, memukul, mengaibkan, mengintip malah ada yang bertindak lebih jauh sehingga meragut nyawa.

Mungkin sebab itulah kita sering membaca berita yang hampir sama.

Bekas teman lelaki menikam kekasih, suami memukul isteri kerana cemburu, teman lelaki mengurung pasangan — ayat berbeza tetapi puncanya tetap sama iaitu obsesi.

Saya percaya setiap ibu bapa yang mempunyai anak perempuan sentiasa berdoa agar anak mereka bertemu lelaki yang baik. Bukan lelaki yang kaya semata-mata. Bukan juga lelaki yang paling kacak atau paling romantik.

Tetapi lelaki yang tahu menghormati kerana rasa hormat asas kepada sebuah cinta yang sihat.

Jika seorang lelaki tidak menghormati pendapat kekasihnya ketika bercinta, jangan berharap dia akan menghormati kita selepas berkahwin.

Jika hari ini dia menentukan dengan siapa kita boleh berkawan, jangan terkejut jika suatu hari nanti dia menentukan bila kita boleh keluar rumah.

Jika hari ini dia meminta kata laluan telefon atas nama kepercayaan, jangan hairan jika esok dia mula mengawal seluruh kehidupan kita.

Ramai wanita tidak menyedari bahawa hubungan toksik jarang bermula dengan pukulan. Ia bermula dengan ayat yang kedengaran romantik.

Saya tidak mahu awak berkawan dengan lelaki lain sebab saya terlalu sayang, saya tidak benarkan awak balik kampung seorang diri, saya tidak suka awak bekerja dengan orang itu.

Lama-kelamaan, perkataan sayang bertukar menjadi larangan kemudian menjadi ugutan yang akhirnya menjadi penderaan. Itulah kitaran obsesi.

Cinta pula memberi ruang untuk seseorang terus menjadi dirinya sendiri. Cinta memberi keselesaan pasangan bukan berasa terancam dengannya.

Cinta memberi kepercayaan bukan curiga yang tidak berkesudahan.

Cinta membuatkan seseorang berasa selamat bukannya sentiasa hidup dalam ketakutan.

Kepada anak-anak muda yang sedang mencari pasangan hidup, jangan hanya memilih kerana rupa yang tampan atau kata-kata yang manis.

Perhatikan bagaimana dia melayan orang lain. Ambil tahu bagaimana dia menghormati ibu bapanya. Dan, lihat adakah dia mudah melenting seterusnya adakah dia meminta maaf apabila melakukan kesilapan?

Semua itu lebih penting daripada sejambak bunga atau hadiah mahal kerana perkahwinan bukan dibina atas bunga, ia dibina atas akhlak.

Kita juga perlu berhenti mempopularkan ayat kalau cemburu tanda sayang. Tidak! Cemburu yang melampau bukan bukti cinta!

Ia boleh menjadi petanda awal kepada sikap mengawal yang akhirnya membawa kepada penderaan.

Semoga kisah wanita yang menderita selama tiga tahun itu menjadi peringatan kepada kita semua. Jangan abaikan tanda-tanda awal hubungan yang tidak sihat. Jangan menganggap ugutan sebagai gurauan. Jangan menganggap kawalan sebagai kasih sayang.

Kadang-kadang, keberanian terbesar bukanlah mempertahankan sebuah hubungan tetapi keberanian untuk meninggalkannya sebelum terlambat.

Kerana lelaki yang benar-benar mencintai tidak akan memenjarakan wanita yang dicintainya.

Dia akan melindungi, bukan melukai. Dia akan mengangkat maruah bukan menjatuhkannya. Dia akan menjadi tempat berteduh, bukan punca ketakutan.

Pilihlah lelaki yang mencintai dengan hati yang matang bukan lelaki yang memiliki dengan obsesi kerana cinta yang sebenar sentiasa membebaskan.

Obsesi pula sentiasa memenjarakan. Dan apabila cinta bertukar menjadi penjara, itu bukan lagi cinta yang patut dipertahankan. Itu adalah isyarat untuk menyelamatkan diri sebelum segala-galanya terlambat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi