SIBU: Seramai 205 individu diperiksa dalam satu Operasi Bersepadu Cegah Jenayah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah malam tadi (Khamis) di sekitar kawasan pentadbiran Balai Polis Mukah.
Operasi yang bermula 10 malam hingga 11.59 malam itu diketuai oleh Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, melibatkan 27 anggota daripada pelbagai bahagian termasuk Siasatan Jenayah (BSJD), Narkotik (BSJND), Trafik, Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Logistik serta anggota dari Balai Polis Mukah.
Menurut Rizal, pemeriksaan turut melibatkan 156 kenderaan selain rondaan bagi membanteras aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Hasil operasi, sebanyak 12 saman trafik dikeluarkan di bawah Pol. 257 dan sebuah motosikal turut ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini (Jumaat).
Beliau turut memaklumkan bahawa operasi berkenaan berjalan dalam keadaan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini atau aduan daripada orang awam.
“Operasi seperti ini akan diteruskan secara berkala sebagai langkah proaktif untuk membanteras jenayah dan meningkatkan tahap keselamatan masyarakat setempat,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Polis Mukah menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan mereka bagi membantu pihak berkuasa dalam usaha menjaga keselamatan bersama.






