BETONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ali Assan yang memasuki hari kedua masih tidak menemui sebarang penemuan positif.
Mangsa, seorang pekerja kebun kelapa sawit dilaporkan hilang sejak Rabu selepas meracun rumput di kawasan ladang di Kampung Hulu Manggut, Spaoh di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, operasi SAR mencari mangsa bermula pada jam 8.30 pagi dengan pencarian dibahagikan kepada dua pasukan.
Katanya, pasukan K9 membuat pencarian di kawasan radius tempat terakhir mangsa sebelum hilang sementara pasukan kedua menggunakan kaedah sweep searching dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) sehingga ke sempadan di antara ladang sawit dan hutan dengan jarak 500 meter.
“Setakat jam 12 tengah hari, pasukan penyelamat masih tidak menemui kesan jejak mangsa.
“Operasi bersambung semula pada sebelah petang dan pencarian hanya tertumpu di kawasan pondok sehingga ke radius pencarian 200 meter namun masih tidak menemui petunjuk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, khidmat bantuan K9 ditangguhkan pada hari kedua memandangkan tiada sebarang penemuan positif sepanjang dua hari pencarian dan ditangguhkan pada jam 5.30 petang memandangkan cuaca semakin gelap, disambung semula pada keesokan hari.




