BINTULU: Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan dua nelayan yang hilang selepas vesel dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Payung diteruskan hari ini dengan penyertaan pelbagai agensi penyelamat.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, operasi yang bermula seawal pagi itu melibatkan kekuatan 31 pegawai dan anggota daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).


“Kawasan pencarian hari ini diperluaskan kepada 35.28 batu nautika persegi menggunakan aset laut dan udara bagi menjejak dua lagi mangsa yang masih belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, empat lagi mangsa yang ditemui selamat telah dirujuk ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut, manakala usaha menjejak dua lagi rakan mereka diteruskan walaupun laut bergelora dengan ombak setinggi 1.5 hingga 2.5 meter.
Menurutnya, bot ronda Maritim Malaysia turut menemukan vesel nelayan terbabit yang karam di kedudukan tiga batu nautika barat laut Kuala Suai, sekitar jam 11.35 pagi Rabu sebelum penandaan dibuat bagi kerja penyelaman oleh pasukan Penyelam Penyelamat Maritim Malaysia.
“Maritim Malaysia akan terus berusaha mengesan mangsa dengan bantuan agensi sahabat.
“Dalam masa sama, kami mengingatkan komuniti maritim agar menangguhkan aktiviti ke laut ketika cuaca buruk,” katanya.
Beliau turut menegaskan pentingnya aspek keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, memeriksa keadaan cuaca dan memastikan komunikasi berfungsi sebelum turun ke laut.
“Kita tidak mahu tragedi seperti ini berulang. Keselamatan perlu dijadikan keutamaan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menyeru komuniti nelayan agar menyalurkan segera sebarang maklumat atau kecemasan di laut melalui talian 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu (086-314 254) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432 544) untuk tindakan segera.






