ULU BARAM – Sebagai kumpulan etnik yang terkecil di Sarawak, Orang Ulu perlu bersama dengan kerajaan dan kumpulan yang besar dan kuat, tegas Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Menurutnya, jika komuniti Orang Ulu tidak bersama kerajaan sedia ada, komuniti ini akan rugi dan ketinggalan daripada arus pembangunan.
“Orang Ulu adalah salah satu komuniti yang sangat kecil di negeri ini kerana jumlah kita sekitar enam peratus daripada keseluruhan penduduk Sarawak yang berjumlah 2.8 juta. Justeru, kita perlu bersama kerajaan agar terus mendapat pembangunan dan perhatian. Kita sendiri yang akan rugi sekiranya tidak bersama kerajaan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Blok Rumah Panjang Baharu Kampung Long Apu di sini, pada Sabtu.
Tambah Gerawat, daripada 82 ADUN di Sarawak, hanya enam orang ADUN daripada komuniti Orang Ulu, antaranya beliau sendiri (DUN Mulu), Datuk Dennis Ngau (DUN Telang Usan), Datuk Liwan Lagang (DUN Belaga), Datuk Paulus Palu Gumbang (DUN Batu Danau), Kennedy Chukpai Ugon (DUN Murum) dan Baru Bian (DUN Ba’kelalan).
Jika enam wakil rakyat tersebut tidak lagi bersama dengan kerajaan GPS, yang rugi adalah komuniti Orang Ulu itu sendiri, bukan kerajaan.
“Jika ada pilihan raya selepas ini, kita harus memastikan Orang Ulu bersama dengan kumpulan yang besar dan kuat, barulah kita menikmati keuntungan. Justeru, kita perlu bersama dengan kerajaan GPS,” ujarnya.
Banyak parti lain menabur janji tetapi tiada bukti jika dibandingkan dengan GPS yang berjaya membuktikan diri mampu membawa banyak pembangunan kepada rakyat.
“Kerajaan GPS pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudah terbukti sebagai kerajaan yang stabil dan membawa banyak pembangunan untuk rakyat, serta dihormati oleh Kerajaan Persekutuan dan juga negara-negara luar,” ujarnya.
Menurutnya lagi, pendapatan negeri Sarawak telah melonjak daripada RM6.5 bilion pada tahun 2018 kepada RM14 bilion pada tahun 2025, hasil daripada usaha kerajaan hari ini.
Selain itu, katanya, kerajaan menyediakan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), bantuan pendidikan seperti Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), serta program bantuan lain termasuk projek pembangunan di luar bandar kepada penduduk negeri ini.



