ARTIKEL

Kredit: FB Anwar Ibrahim

Pakistan, Iran nyata komitmen perkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia – PM Anwar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Keakraban hubungan Malaysia dan Pakistan yang semakin erat telah membuka ruang untuk meneroka pelbagai kerjasama baharu yang melibatkan kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata perkembangan itu adalah hasil daripada pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya Shehbaz Sharif di Pakistan pada Oktober tahun lepas.

“Alhamdulillah, jumlah pelaburan Pakistan di Malaysia telah berkembang dengan baik dan kini mencecah sekitar USD397 juta (RM1.76 bilion). Saya mengalu-alukan lebih banyak pelaburan baharu, terutama dalam bidang pertanian, petrokimia, dan biojisim,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.

Perdana Menteri dalam hantaran sama turut memaklumkan bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada Shehbaz hari ini, yang antara lain membincangkan hubungan dua hala Malaysia dan Pakistan.

“Kami sempat menilai semula memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui sebelum ini, terutama terkait pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan, pembangunan serta bidang sains.

“Insya-Allah, kami sepakat untuk menyegerakan sebarang urusan tertunggak bagi merealisasikan kerjasama tersebut.

“Kami juga sempat bertukar ucapan Aidilfitri dan mendoakan kebaikan buat rakyat kedua-dua negara. Saya mendoakan semoga keberkatan Ramadan dan Aidilfitri membawa rahmat kepada hubungan persahabatan Malaysia dan Pakistan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Anwar berkata perbualan beliau dengan Shehbaz juga menyentuh mengenai perkembangan di Gaza tatkala Israel melanggar perjanjian gencatan senjata dan menggagalkan usaha damai menerusi serangan ganas terhadap rakyat Palestin.

“Kami sempat bertukar pandangan dan menyelaras idea mengenai usaha menghentikan keganasan serta pemulihan semula Gaza,” katanya.

Anwar turut memaklumkan Shehbaz n mengadakan kunjungan sulungnya ke Malaysia pada 9 Mei ini.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Anwar berkata beliau juga menerima panggilan telefon daripada Presiden Iran, Dr. Masoud Pezeshkian, hari ini, yang antara lain menyentuh mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Iran selain bertukar ucapan sempena sambutan Aidilfitri.

“Kami menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan kedua-dua negara, terutama dengan mempertingkatkan pelaburan dan perdagangan, selain memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang yang berpotensi.

“Alhamdulillah, kunjungan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ke Tehran pada bulan lepas membawa perkembangan positif dalam hubungan serta kerjasama dua hala Malaysia dan Iran,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata beliau akan memastikan kesinambungan kunjungan berkenaan dengan menyegerakan dan mempermudahkan segala usaha untuk mengembangkan kerjasama dalam bidang pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan dan bidang lain yang berkaitan.

Menurut Anwar, dalam perbualan bersama Pezeshkian itu, beliau turut mengulangi penghargaan Malaysia terhadap pendirian teguh dan konsisten Iran dalam memperjuangkan hak serta keadilan buat rakyat Palestin, selain menentang kezaliman Israel.

“Kami percaya solidariti dan kesatuan dalam kalangan negara Islam serta warga dunia amat penting dalam usaha memastikan keadilan dan keamanan berpanjangan di bumi Gaza,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Pengurus klinik ‘jadi bilionair’ selama sejam

KUCHING: Seorang pengurus klinik, Wan Mohd Fairuz Wan Zainal Abidin, 33, terkejut apabila baki akaun banknya tiba-tiba memaparkan lebih RM1 bilion, sekali gus memberinya pengalaman

Pengurusan kewangan Sarawak dipuji

KUCHING: Penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Hadapan mencerminkan pengurusan kewangan berhemat Sarawak dalam menjamin kestabilan fiskal negeri serta kepentingan generasi akan datang. Ahli Dewan Undangan