DARO: Keindahan seni pantun kini menghiasi kawasan awam di Daro menerusi pemasangan Papan Tanda Pantun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sekali gus menjadi medium baharu dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan serta menyemarakkan apresiasi masyarakat dengan warisan sastera negara.
Inisiatif tersebut dilaksanakan sempena Program Kembara MADANI Bahasa dan Sastera (KEMBARA) di Taman Permainan Daro dan Dewan Masyarakat Daro hari ini.
Majlis simbolik pemasangan papan tanda berkenaan disempurnakan oleh ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad bersama-sama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Hazami Jahari.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian Sambutan Ulang Tahun Ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka yang bertujuan untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa ilmu.
Sehubungan itu, Safiee yang juga Ahli Lembaga Pengelola DBP berkata, pemasangan papan tanda unik di lokasi tumpuan awam itu membolehkan masyarakat menikmati karya sastera tradisional dalam suasana santai.
“Melalui paparan pantun yang dipilih, orang ramai berpeluang menghayati keindahan bahasa, nilai budaya dan kebijaksanaan masyarakat terdahulu yang diwariskan dari satu generasi ke satu generasi.
“Selain berfungsi sebagai elemen hiasan yang menceriakan landskap kawasan awam, papan tanda ini juga menjadi bahan bacaan ringan yang mampu menambah pengetahuan dan memupuk minat dengan sastera Melayu,” katanya.



