PARA SUKMA 2022: Elaun suntik semangat atlet OKU Sarawak

KONTINJEN Sarawak mampu mengekalkan reputasi hebat pada temasya Para Sukma Johor 2022.

Ia sekali gus, meraih gelaran juara buat kali ke-14, mengulangi pencapaian selama 26 tahun sejak 1994.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Sri Hajah Fatimah Abdullah memberitahu, persiapan atlet yang sedikit terganggu ekoran penularan pandemik Covid-19 dan turut menyaksikan sesi latihan terpaksa ditangguhkan.

Namun ia tidak begitu menjejaskan kecergasan atlet.

Sebaliknya kata Fatimah, beliau amat yakin kemampuan atlet berkenaan untuk mengekalkan momentum.

“Kita tahu sesi latihan atlet agak terganggu gara-gara pandemik Covid-19.

“Masalah ini tidak menjejaskan fokus mereka, malah saya amat yakin atlet kita masih kekal hebat dan mampu memastikan gelaran juara milik Sarawak,” ujar beliau pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pusat latihan dan persiapan atlet Para Sukma Sarawak dan SOPMA Sarawak di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSNS) semalam

Turut bersama-sama beliau ialah Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Anak Hollis, pegawai JBSNS serta pengurus dan jurulatih.

Beliau akui, tempoh sukar dilalui para atlet sebelum ini kerana terpaksa menjalani latihan di rumah secara maya.

Pun begitu tambahnya, kebenaran untuk kembali menjalani latihan secara bersemuka pertengahan Mac lalu memberi kelegaan kepada pihaknya.

Beliau percaya jurulatih terlibat tahu langkah yang perlu dilakukan.

Dengan kata lain, menyediakan pelan latihan lebih komprehensif kepada atlet masing-masing bagi mengembalikan kecergasan mereka ke tahap maksimum.

Dalam perkembangan sama, Fatimah menegaskan, pihaknya turut menitikberatkan kebajikan atlet terlibat dengan persiapan menghadapi temasya Para Sukma Johor 2022.

“Kita tahu kalangan atlet sekarang bergaji hari. Jika mereka berlatih dan terpaksa bercuti serta menjejaskan pendapatan.

“Oleh itu, pihak kita turut menyediakan elaun mengikut klafikasi ditetapkan,” tambah beliau.

Sambil menyatakan, atlet kelompok elit menerima bayaran elaun sebanyak RM1,500.

Manakala, atlet pelapis A menerima bayaran RM800, diikuti bayaran RM700 untuk atlet pelapis B.

Selain bayaran RM600 dan RM400 masing-masing untuk atlet pelapis C dan baharu.

“Kita percaya penyediaan bayaran elaun ini akan dapat memberi semangat kepada mereka,” jelas beliau lagi.

Kontinjen Para Sukma Sarawak akan berentap dalam sepuluh acara iaitu renang, olahraga, badminton, tenpin boling, ping pong, boling padang, powerlifting, memanah, catur dan boccia.

Suara Sarawak