BINTULU: Penduduk Rumah Unji Pagan di Sungai Tissay, Sebauh berada dalam keadaan bersiap sedia susulan kenaikan berterusan paras air sungai ekoran hujan lebat sejak malam tadi.
Menurut Tuai Rumah Unji Pagan, paras air meningkat pada kira-kira tiga inci sejam, sekali gus menimbulkan kebimbangan berlakunya banjir lebih serius jika hujan berterusan.
Beliau berkata, penduduk telah mengambil langkah awal dengan menyelamatkan barangan keperluan serta dokumen penting dan bersedia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Sebauh sekiranya keadaan bertambah buruk.
“Kami sentiasa memantau paras air dan berada dalam keadaan berjaga-jaga. Sekiranya paras air terus meningkat, penduduk akan berpindah ke PPS yang telah dikenal pasti,” katanya.

Tinjauan mendapati bahagian dapur serta anjung rumah panjang berkenaan telah dimasuki air pada paras satu hingga dua kaki, namun keadaan masih terkawal dan tiada arahan pemindahan rasmi dikeluarkan setakat ini.
Pemantauan rapi terus dilakukan oleh pihak berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.
Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Steven Kong Kai Seng, yang turun ke lokasi memaklumkan pihaknya telah menghubungi Pejabat Daerah Sebauh untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Sebauh berada dalam keadaan siap siaga untuk menerima penduduk terjejas sekiranya diarahkan.



