»Pelakon Park Shin Hye bersedia membuat kemunculan semula menerusi watak yang berbeza daripada kebiasaan, menerajui drama hujung minggu terbaharu tvN, Undercover Miss Hong yang bakal ditayangkan Januari depan.
Berlatar era lewat 1990-an, drama bergenre komedi pejabat retro ini mengisahkan Hong Geum Bo, seorang penyelia sekuriti berprestasi tinggi dalam lingkungan usia 30-an, yang terpaksa menyamar sebagai kakitangan baharu berusia 20 tahun selepas dikesan wujud aktiviti kewangan mencurigakan.
Penyamaran itu mencetuskan kehidupan berganda yang penuh kekalutan, tekanan dan detik lucu yang tidak dijangka.
Park Shin Hye membawakan watak Hong Geum Bo, seorang elit terlatih yang dikenali sebagai perfeksionis tegar.
Digelar “Yeouido Witch”, beliau merupakan penyelia wanita pertama di Biro Siasatan Pasaran Modal, Perkhidmatan Penyeliaan Kewangan.
Namun pada usia 35 tahun, segala status, pendidikan dan egonya terpaksa diketepikan apabila dia diarahkan menjalani kehidupan baharu sebagai pembantu pejabat lepasan sekolah menengah berusia 20 tahun, menggunakan identiti samaran Hong Jang Mi.
Imej pegun terbaharu yang didedahkan memperlihatkan transformasi 180 darjah Park Shin Hye, daripada fi gura elit yang kemas dan berwibawa kepada pesona penyamaran yang kekok tetapi menawan.
Perubahan gaya rambut, busana serta ekspresi wajah menyerlahkan keupayaannya menghidupkan dua karakter yang bertentangan dalam satu peranan.
Hong Geum Bo digambarkan sebagai individu yang berpegang teguh pada meritokrasi dan mengejar kesempurnaan tanpa kompromi, dengan raut wajah tenang serta senyuman tajam yang dingin.
Sebaliknya, Hong Jang Mi memancarkan kepolosan dan tenaga segar seorang pekerja muda, menghadirkan sisi ceria dan mesra yang jarang terlihat pada identiti sebenar Geum Bo.
Seiring penantian terhadap kepulangan Park Shin Hye, perhatian turut terarah kepada bagaimana wataknya mengharungi krisis demi krisis ketika merentas jurang usia dan latar pendidikan dalam dunia yang asing baginya.
Selain Park Shin Hye, drama ini turut dibintangi barisan pelakon sokongan yang mantap. Go Kyung Pyo memegang watak Shin Jeong Woo, diikuti Ha Yoon Kyung sebagai Ko Bok Hui dan Cho Han Gyeol sebagai Albert Oh, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam perkembangan jalan cerita.
Barisan pelakon pembantu pula menampilkan Choi Ji Soo sebagai Kang No Ra, Kang Chae Young sebagai Kim Mi Sook, serta pelakon veteran Lee Deok Hwa yang membawakan watak Kang Pil Beom.
Turut memeriahkan drama ini ialah Kim Do Hyun sebagai Bang Jin Mok, Jang Do Ha sebagai Lee Yong Gi, Seo Hyun Chul sebagai So Kyung Dong dan Im Chul Soo sebagai Cha Jung Il.
Watak-watak lain digerakkan oleh Kim Hyung Mook sebagai Oh Deok Gyu, Kim Mi Hyun sebagai Song Ju Ran, Byun Jung Soo sebagai Choi In Ja, Kim Won Hae sebagai Yoon Jae Beom, Han Soo Ho sebagai Nam Dong Ki, Lee Soo Mi sebagai Kim Soon Jung, Kim Young Woong sebagai Hong Chun Seop serta Jung I Rang sebagai Kim Nam Joo.
Drama ini turut menampilkan kemunculan istimewa Yuna yang membawa watak Hong Jang Mi, melengkapkan lagi penceritaan dan dinamika watak dalam Undercover Miss Hong. Undercover Miss Hong bakal menemui penonton Januari ini, setiap hujung minggu jam 9.10 malam di tvN.



