Parti nyamuk, parti semut di PRK Jepak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

TIDAK semua individu berani untuk menjadi calon pilihan raya.

Dan tidak semua yang berani melangkah untuk menentang calon daripada kerajaan yang memerintah.

Lazimnya, jika tidak ada isu yang membakar, ataupun dendam dan kebencian yang melampau, tidak akan ada mana-mana individu akan melangkah ke pusat penamaan calon untuk mengemukakan borang pencalonan. Pun begitu, tidak bermakna tidak ada yang sekadar ingin mencuba.

Tidak sedikit calon Bebas yang pada mulanya sekadar ingin mencuba kerana tidak dipilih oleh parti yang diinginkan, dan akhirnya berjaya.

Begitu juga dengan Pilihan Raya Kecil DUN N67 Jepak. Dua parti yang menghantar calon; Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) tidak dianggap besar.

Lebih menarik, penyertaan mereka boleh dilihat sebagai tidak serius untuk politik, sebaliknya hanya untuk memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menang tebing atau menang mudah.

Calon Aspirasi, Chieng Lea Phing ketika ditemui pada hari penamaan calon, Sabtu lalu beranggapan penyertaannya dalam pilihan raya ini sebagai satu percubaan. Gelanggang uji sebelum menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan datang.

Kemudian ketika ditemui media semalam, tauke kedai emas itu malah menunjukkan kepada media alasan sebenar kenapa beliau bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Antaranya, sebagai meluahkan kekecewaannya terhadap sistem perundangan tempatan yang menafikan haknya untuk memiliki sebuah bangunan tiga tingkat di tengah bandar Bintulu, walhal sudah memperoleh keputusan mahkamah dan membayar wang lebih RM10 juta untuk tujuan itu.

Bangunan yang dijadikan sebuah hotel bajet itu tidak dapat diserahkan kepada Chieng kerana kononnya wujud arahan mahkamah, yang memberikan injunksi kepada defendan untuk menghalang Chieng daripada memiliki premis tersebut.

Alasannya, Chieng tidak membayar habis wang yang dijanjikan. Justeru, geram dengan apa yang berlaku, Chieng bertindak untuk bertanding dalam pilihan raya kali ini, bagi melawan sistem. Dan beliau memilih untuk mengibarkan parti Aspirasi. Chieng sendiri, tidak tahu apa yang harus dilakukannya ketika kempen. Kerana beliau bukan seorang ahli politik tegar.

Sebaliknya ketika bercakap dengan penulis pada Sabtu lalu, beliau yang hanya berkemeja ringkas dan bersandal memberitahu, mungkin akan meminta penyokongnya memangkah PBK, yang kelihatan lebih terurus.

“Sokong satu parti pembangkang sahaja akan mengukuhkan solidariti pembangkang. Ia menjadikan suara kita lebih kuat,” katanya.

Bagi Parti Bumi Kenyalang, mereka meletakkan anak muda, Stevenson Joseph Sumbang, 42, yang beraksi untuk kali kedua di pentas pilihan raya.

Stevenson memberitahu, beliau akan menggunakan media sosial dan berkunjung dari rumah ke rumah, seperti pilihan raya lalu, untuk kempen kali ini. Ironinya, kaedah yang sama digunakan pada pilihan raya lalu, dan beliau sekadar membawa pulang kurang 600 undi.

Atas ketidakseriusan, ketiadaan isu dan sekadar menempel inilah yang menjadikan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutamanya Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan parti-parti ini sebagai parti nyamuk dan parti semut.

Mereka bertanding tanpa kesungguhan, tanpa isu dan tidak mustahil tanpa dana yang mencukupi. Mungkin kerana jumlah deposit yang begitu rendah, RM5,000 untuk setiap calon dan RM3,000 untuk deposit bahan kempen menjadikan mereka menganggap mudah untuk membayarnya. Tanpa kempen yang serius, mereka hanya mengharapkan undi protes.

Mungkin ini yang menimbulkan kejengkelan kepada sesetengah pimpinan GPS, kerana jika berlaku menang tebing urusan pentadbiran DUN Jepak dapat disegerakan, tidak perlu menunggu 12 hari berkempen.

Dan jika parti itu sebesar harimau dan gajah, serta tidak nyamuk dan semut sifatnya, mungkin saingan yang diberikan amat berbaloi. Hakikatnya, PBK tidak pernah memberi saingan sengit dalam politik Sarawak.

Parti yang didaftarkan secara rasmi pada tahun 2013 mula dikenali apabila bekas pemimpin DAP, Voon Lee Shan mengambil alih pentadbirannya.

Ketika bertanding Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2021, parti itu menampilkan golongan profesional, pemimpin tempatan, serta ahli politik daripada pelbagai kaum, agama, bangsa dan umur.

Malangnya, ketika proses kempen, calon-calonnya gagal menyerlah, malah pihak media gagal mengesan di mana dan bila ia mengadakan kempen kepada umum menampakkan ketidaksediaan mereka untuk memgharungi hari penting itu.

Ketika ini, jurujual terbaiknya hanya Lee Shan sendiri menerusi kenyataan-kenyataannya di media serta beberapa gimik promosi yang menggunakan van atau kereta yang bergerak.

Penampilan di media massa dan media sosial juga kurang meyakinkan. Sementara itu, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak yang sebelumnya dikenali sebagai Parti Reformasi Negeri mula dikenali ramai kerana perjuangan Sarawak untuk orang Sarawak.

Seperti pilihan raya-pilihan raya sebelum ini, parti ini gagal menampakkan kekuatannya, termasuk daripada aspek kempen dan sebagainya. Sebaliknya mereka hanya mengharapkan pertemuan berkelompok kecil dengan tumpuan hanya kepada komuniti Cina dan Iban.

Realitinya, penubuhan Kerajaan Perpaduan pada 2022 sebenarnya telah menyumbang kepada ketidakrancakan kempen pilihan raya di Jepak.

Segala-galanya berat sebelah, baik dari segi henjutan kempen mahupun pemasangan bahan kempen seperti poster dan kain rentang. GPS belum lagi menerbitkan manifesto yang pasti gah kerana beberapa projek besar sedang berlangsung dan berjalan.

Jika ini berlaku kelak, ia sudah pasti akan menambah parah kepada dua parti kecil yang hadirnya seakan samar dan tidak nampak di bandar ini.

Oleh itu tidak hairanlah, cabaran baharu kepada penggerak kempen GPS bukanlah sejauh mana mereka menang dan memenangi undi 22,804 pemilih yang ada, sebaliknya, sekecil mana undi yang ada berpindah tangan kepada calon dua parti ini.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Buruh paksa moden

SEKALI-SEKALA media melaporkan pekerja asing, termasuk pembantu rumah di negara

Gibran di mata Prabowo

PEMILIHAN presiden (Pilpres) Indonesia berlangsung 14 Februari 2024. Sejumlah survei