TIGA malam di Yogyakarta, kami menaiki kereta api malam dari Stesen Lempuyangan menuju Stesen Pasar Senen, Jakarta Pusat.
Tambang kelas ekonomi ialah Rp250,000 (RM75) seorang. Perjalanan bermula 9.30 malam dan sampai di stesen Pasar Senen, jam 7.30 pagi berikutnya pada Khamis.
Menginap di Hotel Kapsul Shakti dekat Jalan Gajah Mada – di dalam kapsul tersedia pendingin hawa, televisyen dan kemudahan pengecas telefon serta lampu yang dikawal.
Dari penginapan kapsul kami menaiki Maxim untuk meninjau semula Pasar Senen yang terletak dalam Kecamatan Senen, Jakarta Pusat itu.
Pusat ini terkenal sebagai pusat grosir atau memborong dan pusat perbelanjaan terbesar di Jakarta.
Di sini menjual barangan murah, koleksi buku lama yang mungkin sudah tidak dicetak lagi — serta barangan berkas atau bundle dan barangan terpakai, makanan, elektronik, pakaian, aksesori, peralatan sekolah dan pejabat, perabot hingga barang berjenama.
Seawal 6 pagi hingga 5 petang, biasanya pasar sayur, buah, daging dan ikan sudah dibuka.
Manakala, kios menjual, pakaian, aksesori terutama jam tangan buka 9 pagi hingga 5 petang.
JAJAN TRADISIONAL
Pasar Senen juga terkenal dengan kulinernya, bermula dengan jajan tradisional sehingga kepada makanan masakan Minang dan nasi Kapaunya.
Zaman awal, wilayah Senen terkenal dengan hasil kebunnya sehingga munculnya pasar untuk menjual hasil pertanian.
Zaman pemerintahan Belanda, pemilik tanah Senen, Justinus Vinck memohon mendirikan pasar tersebut kepada pemerintah Belanda yang kemudian dipersetujui Gabenor Jenderal Abraham Patras.
PASAR VINCK
Hasilnya, pasar tersebut yang dikenali Belanda sebagai Vincke Passer atau Pasar Vinck, hanya dibenarkan dibuka pada Isnin.
Manakala, Sabtu diperuntuk bagi pasar yang dibangunkan di wilayah Tanah Abang dan Kampung Lima beroperasi. Sepanjang lebih 274 tahun, kawasan pasar ini menyimpan banyak kisah dan sejarah.
Pada era pramerdeka, daerah sekitar Pasar Senen merupakan daerah berkumpulnya para intelektual muda serta pejuang bawah tanah.
Beberapa pemimpin pergerakan seperti Chairul Saleh, Adam Malik, Soekarno dan Mohammad Hatta, sering mengadakan pertemuan di daerah ini.
Pada zaman penjajahan Jepun sehingga 1950-an, kawasan sekitar Pasar Senen sering dijadikan lokasi berkumpulnya para seniman dari era pujangga baharu seperti Rosidi, Sukarno M. Noor, Wim Umboh dan HB Yasin.
PROJEK SENEN
Memasuki zaman moden, pembangunan “Projek Senen” dijalankan dengan naiknya banyak bangunan.
Ada juga yang berkomentar bahawa kemegahan dan kemewahan Pasar Senen kini perlahan memudar.
Selain Pasar Senen, terdapat kawasan tumpuan lain seperti Pasar Tanah Abang yang didakwa sebagai pasar terbesar di Asia Tenggara, berdiri sejak 1735.
Kawasan lain ialah Pasar Baru, Pasar Pagi Mangga Dua, Blok M, Pasar Majestik serta Pasar Asemka.
Semalam di Jakarta Pusat, esoknya kami berpindah ke Tangerang menginap di Oyo, Jalan Rame.
Tangerang lebih ceria, moden dan banyak bangunan baharu.
Namun, jika mahu meninjau Pasar Lama, di situ kaya pelbagai jenis kuliner.
Kawasan Pasar Lama Tangerang memiliki beragam tempat wisata yang menarik untuk dikunjungi, bermula dengan wisata sejarah di beberapa bangunan tua, hingga wisata kuliner seawal 7 petang.
NAIK ANGKOT
Kami menaiki “angkot” dari penginapan menuju Pasar Lama ini yang terletak di Jalan Kisamaun, Sukasari, Kota Tangerang, Banten dekat Stesen Tangerang.
Kegiatan jual beli di Pasar Lama Tangerang masih menggunakan wang tunai, justeru bawalah wang tunai yang cukup sebelum ke Pasar Lama Tangerang.
Kami juga sempat singgah di Tangcity Mall, gedung besar dan mewah.
Membeli oleh-oleh di Tangcity Mall, ketika itu berlangsung acara pentas selebriti Korea – demam Korea hallyu tersebar di seluruh Asia.
Di Tangcity Mall, kami sempat disapa jurujual hartanah yang mempromosikan apartmen eksklusif kategori studio senilai RM300,000 sebuah.
Seminggu di Indonesia, kami ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta terus ke Terminal 2, menaiki Maxim dengan tambang RM30 sebuah kereta, berangkat pulang ke Kuching pada petang.



