Pastikan minyak sawit mencukupi

KUCHING: Satu kajian segera perlu dilaksanakan bagi memastikan bekalan Minyak Sawit Mentah (MSM) di negara ini sentiasa mencukupi, kata Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Ini kerana menurutnya, peningkatan mendadak eksport MSM yang mencetus pengurangan cukai eksport kepada sifar memberi tekanan kepada bekalan itu dengan cepat.

“Malah baru-baru ini, negara China melahirkan hasrat untuk membeli lebih banyak MSM dari Malaysia. Perkara ini melahirkan kebimbangan saya.

“Janganlah terlalu ghairah menjual MSM hingga lupa dengan bekalan untuk pasaran tempatan kerana menyebabkan pasaran domestik tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perbahasan Belanjawan 2021 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Perusahan Perladangan Dan Komoditi di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Katanya, harga minyak sawit mentah semakin pulih sejak Mei lalu berikutan peningkatan ketara permintaan eksport pada Jun. Sementara pada Julai mencatatkan peningkatan antara lima peratus hingga enam peratus berbanding Jun.

“Pengeluaran keseluruhan Malaysia juga diunjurkan RM19 juta tan atau jatuh 4.32 peratus berbanding 2019. “Walaupun eksport 17 peratus lebih rendah pada separuh pertama 2020 berbanding 2019, eksport dilihat meningkat kukuh terutama dari India berikutan negara itu mula melonggarkan langkah sekatan pergerakan dan meningkatkan bekalan simpanan sawit,” katanya lagi.

Beliau turut memohon kementerian menyiasat mengenai cas perkhidmatan sebanyak RM50 yang dimasukkan ke dalam resit penjualan sawit tandan segar (FFB) kerana terdapat rungutan peneroka di kawasannya.

Beliau bagaimanapun menyambut baik Insentif Pengeluaran Getah (IPG) ditingkatkan dari RM100 juta kepada RM300 juta bantuan kerajaan untuk membantu pekebun getah selepas berhadapan masalah harga komoditi itu yang tidak stabil.

Suara Sarawak