KUCHING: Ketua Jurulatih Pasukan Badminton Sarawak Ichwansyah Rusli Ali percaya anak buahnya mampu memberikan aksi terbaik menjelang final lekaki berpasukan dan wanita berpasukan menentang pasukan Sabah, esok.
Beliau menegaskan, sasaran pasukan adalah untuk memasuki final, sekali gus menjadi pemangkin semangat kepada barisan pemain untuk memperagakan persembahan terbaik menjelang perlawanan.
“Prestasi kita sama ada pasukan lelaki dan pasukan wanita masing-masing mempamerkan aksi luar biasa. Mereka menunjukkan hasil latihan selama ini dengan baik.
“Dengan pencapaian ini, sudah pasti kita telah mencapai sasaran ditetapkan dan kita akan fokus ke final walaupun kita akui Sabah merupakan sebuah pasukan yang kuat juga,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau pada masa sama menegaskan pasukannya mempunyai strategi tersendiri untuk memenangi aksi final, sambil mengharapkan pemain mengekalkan momentum kemenangan.
Beliau justeru menggalakkan para pengunjung untuk hadir ke Stadium Perpaduan bagi memberikan sokongan kepada pasukan.
Aksi final akan menyaksikan lima kategori akan dipertandingkan iaitu tiga pemain perseorangan dan dua beregu.



