KUCHING: Pasukan petanque terus menunjukkan aksi cemerlang selepas berjaya melangkaui sasaran dengan menyumbangkan lima pingat emas dan tiga perak kepada kontinjen Sarawak setakat ini.
Ahli Parlimen Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata, pencapaian tersebut merupakan satu kebanggaan kerana pasukan petanque berjaya menyumbangkan banyak pingat.
“Kita bersyukur kerana pada awalnya kita menyasarkan tiga emas sahaja, bagaimanapun setakat ini pasukan kita berjaya meraih lima emas dan tiga perak.
“Ini melangkaui sasaran kita, dan membuktikan bahawa petanque sekarang merupakan antara acara yang menyumbangkan banyak pingat kepada Sarawak,” katanya.
ACDM Petanque Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Sarawak 2024 itu juga berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah bagi acara bertiga lelaki dan tiga campuran (satu lelaki dan dua wanita) di Arena Petanque Santubong, di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau mengharapkan agar pasukan Sarawak dapat terus meraih pingat dalam dua acara yang akan dipertandingkan sehingga 24 Ogos ini.
“Insya-Allah melihat kepada prestasi dari hari pertama sehingga hari ini, saya nampak peluang kita untuk meraih pingat emas itu cerah.
“Ini juga kerana komitmen dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan atlet kita.
“Mereka membuktikan bahawa kita berjaya dengan mencipta sejarah meraih pencapaian tertinggi dengan lima pingat emas,” ujarnya.
Terdahulu, Safiee juga mengalungkan sendiri pingat kemenangan buat pasukan Sarawak pada majlis penyampaian hadiah.



