BELARUS kekal menjadi satusatunya negara di Eropah yang aksi bola sepak diteruskan seperti biasa dengan presidennya, Alexander Lukashenko menegaskan vodka dan sauna mampu mengatasi virus berkenaan.
Bagaimanapun peminat di sana sudah mula sedar betapa bahayanya virus coronavirus ñ menyaksikan kekurangan penyokong hadir menyaksikan perlawanan sekali gus memaksa sebuah kelab untuk mengambil pendekatan berbeza.
Dynamo Brest yang memenangi Liga Perdana musim lalu meminta penonton daripada seluruh dunia untuk membeli tiket maya dalam talian.
Dengan itu, wajah mereka akan dilekapkan pada patung yang berada di dalam stadium dan pembeli tiket juga menerima program hari permainan yang dihantar terus ke rumah masing-masing.
Wajah-wajah yang dilekapkan pada patung ini boleh dilihat ketika Brest mencatat kemenangan 2-0 ke atas Shakhtyor Soligorsk dalam aksi Piala Belarus, Rabu lalu. Setiap patung juga dilengkapkan dengan pelbagai jersi bola sepak berbeza seperti Manchester United, Real Madrid, AC Milan malah Aston Villa.
Wajah peminat dari United Kingdom, Iran, Russia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut ada di bangku penonton, dengan kelab mengucapkan terima kasih kepada yang mengambil bahagian.
“Penyokong kami daripada seluruh dunia nampak gembira!. Terima kasih atas sokongan kamu!,” kata kelab itu dalam akaun Twitter.
Dalam pada itu, kelab berkenan turut mengumumkan yang kesemua hasil jualan tiket berkenaan akan didermakan bagi mencegah wabak merbahaya itu. – Agensi






