KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memperincikan prosedur operasi standard (SOP) penghantaran bahan kempen bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 sebagai persediaan menghadapi hari penamaan calon sehingga hari pengundian.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, bahan kempen parti sudah disediakan.
“Namun, pengedarannya belum bermula kerana tumpuan ketika ini ialah memperkemas prosedur pentadbiran dan penyelarasan penghantaran.
“Apabila tiba hari penamaan calon, sudah pasti semua jentera sibuk melaksanakan tanggungjawab dan tugasan masing-masing.
“Perbincangan awal itu penting bagi memastikan semua jentera PBB di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) memahami arahan dan SOP yang ditetapkan sebelum hari penamaan calon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat Penyelarasan Pengagihan/Pengedaran Barangan dan Bahan Kempen PRU Sarawak di Bilik Persidangan Ibu Pejabat PBB di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, mesyuarat turut memberi tumpuan kepada hubungan antara sekretariat ibu pejabat PBB dengan cawangan serta kawasan DUN parti.
“Khususnya melibatkan aspek komunikasi dan pengurusan penghantaran bahan kempen,” ujarnya.
Katanya, penyelarasan lebih awal dilakukan bagi memberi ruang kepada wakil setiap kawasan menyusun persediaan jentera masing-masing sebelum tempoh pilihan raya semakin hampir.
“Jadi, kali ini kita mengambil keputusan untuk mengadakan perbincangan lebih awal supaya apabila mereka kembali ke kawasan masing-masing, mereka dapat menyusun atur jentera, terutama berkaitan sekretariat dan penghantaran barang,” katanya.
Fazzrudin menambah, mesyuarat kali ini melibatkan PBB di semua kawasan DUN, manakala penyelarasan bagi parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dibincangkan secara berasingan oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau menegaskan bahawa mesyuarat itu berfokus kepada aspek pentadbiran dan prosedur persediaan pilihan raya, termasuk mendapatkan maklum balas daripada cawangan dan kawasan DUN bagi menambah baik SOP penghantaran bahan kempen.






