SIBU: Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah diadakan bagi menyatukan pemikiran, memperkukuh semangat dan menyelaras gerak kerja seluruh jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata konvensyen itu bukan sekadar program tahunan atau platform mendengar ucapan, sebaliknya menjadi medan memperkukuhkan kesatuan dan disiplin parti.
“Konvensyen ini bukan sekadar untuk mendengar ucapan, bukan sekadar memenuhi jadual parti dan bukan juga sekadar menjadi program tahunan.
“Tujuan utama kita berkumpul ialah untuk menyatukan fikiran, memperkukuhkan semangat, menyelaras gerak kerja dan memastikan seluruh jentera PBB benar-benar bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang semakin menghampiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Jelas Nanta, konvensyen yang disertai 24 cawangan PBB dari Zon Tengah merupakan siri pertama daripada empat konvensyen khas PBB yang akan diadakan di seluruh Sarawak.
Katanya, setiap perwakilan yang hadir perlu membawa pulang mesej yang jelas bahawa seluruh jentera parti mesti bersatu, berdisiplin dan komited bagi memastikan PBB bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus memperoleh mandat mentadbir Sarawak.
“Kita mahu setiap perwakilan yang pulang dari konvensyen ini membawa satu mesej yang jelas iaitu kita mesti bersatu, kita mesti berdisiplin, kita mesti komited dan kita mesti memastikan PBB bersama-sama GPS dapat mengekalkan mandat bagi mentadbir bumi Sarawak yang kita cintai ini dan meneruskan semua perancangan yang telah dilakar bagi membawa Sarawak maju makmur,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera parti bergerak sebagai satu pasukan tanpa memberi ruang kepada perpecahan atau kepentingan peribadi.
“Kemenangan dalam pilihan raya bukan sekadar soal politik, tetapi bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan Sarawak termasuk pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), ekonomi hidrogen, tenaga hijau, ekonomi digital, pembangunan luar bandar, pendidikan, kesihatan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan PETROS,” katanya.



