Pasukan Puteri Bunian Walinong Sari (PBWS) semakin menyerlah sebagai antara pasukan lumba perahu yang disegani dalam arena sukan air tradisional di Sarawak.
Ditubuhkan atas dasar minat mendalam terhadap sukan air tradisional, pasukan ini dimiliki oleh Pengurus Bidar Puteri Bunian, Awang Irman Awang Salleh, 47, atau dikenali sebagai Man Arena, serta Pengurus Bidar Puteri Walinong Sari, Mohamed Baseer Nawabdeen, 46, atau dikenali sebagai Baseer. Pasukan ini berpangkalan di Bahagian Mukah.
Menurut Baseer, PBWS bukan sekadar pasukan lumba perahu, malah menjadi wadah untuk memupuk semangat kesukanan, perpaduan dan kecintaan terhadap warisan masyarakat tempatan.
“Nama Puteri Bunian Walinong Sari dipilih agar kedengaran unik dan gah, sebaliknya membawa gabungan elemen mistik, keindahan dan semangat kepahlawanan.
“Nama Walinong Sari diambil daripada kisah mitos puteri yang terkenal di Pahang, manakala Puteri Bunian pula merujuk kepada kepercayaan masyarakat Melayu mengenai alam bunian yang sering dikaitkan dengan unsur misteri.
“Gabungan nama ini melambangkan sebuah pasukan yang kelihatan tenang dan indah, namun memiliki kepantasan luar biasa serta semangat juang yang tinggi seperti seorang srikandi,” katanya kepada Suara Sarawak.
Dedahnya, nama tersebut menjadi sumber inspirasi dan azimat semangat kepada setiap pekayuh untuk mengharumkan nama Mukah di setiap sungai dan gelanggang penyertaan.
Sejak 2022, PBWS memiliki antara 25 hingga 35 pengayuh yang kebanyakannya terdiri daripada anak tempatan yang berminat dalam sukan lumba perahu.
Menyentuh tentang pemilihan ahli pasukan, ia dibuat berdasarkan minat dan komitmen.
Selain itu, pasukan ini memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali serta mendalami sukan warisan tersebut.
“Dalam pasukan ini terdapat gabungan pengayuh berpengalaman dan mereka yang baru menceburi sukan lumba perahu. Gabungan ini membolehkan perkongsian ilmu dan pengalaman berlaku secara berterusan,” jelasnya.
Bagi memastikan prestasi pasukan sentiasa berada pada tahap terbaik, PBWS menjalani latihan secara konsisten di sungai dan di darat.
Latihan tersebut memberi penekanan terhadap aspek stamina, teknik kayuhan yang betul, keserasian dalam kalangan pekayuhnya serta disiplin pasukan.
Ujarnya, disiplin merupakan antara kekuatan utama PBWS dan setiap ahli pasukan diwajibkan mematuhi arahan jurulatih demi mencapai matlamat bersama.
“Setiap pengayuh perlu memberikan komitmen penuh semasa latihan dan pertandingan.
“Mendengar dan mematuhi arahan jurulatih adalah perkara yang amat dititikberatkan dalam pasukan ini,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui menguruskan pasukan lumba perahu bukan tugas yang mudah kerana memerlukan pengorbanan besar daripada semua pihak.
Menurutnya, antara cabaran utama yang sering dihadapi adalah keadaan sungai yang tidak menentu, termasuk arus deras serta kewujudan sisa kayu dan sampah yang boleh merosakkan dayung dan perahu.
Selain itu, kesukaran untuk mengumpul antara 25 hingga 30 pengayuh bagi menjalani latihan turut menjadi cabaran memandangkan kebanyakan mereka mempunyai komitmen kerja dan keluarga.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, semangat para pengayuh untuk terus berlatih dan bersaing tidak pernah luntur,” jelasnya.
Baseer turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat setempat yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan.
Katanya, sokongan berterusan masyarakat menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga PBWS untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
Sejak penubuhannya, PBWS membuktikan kemampuan mereka sebagai antara pasukan yang berprestasi dalam arena lumba perahu Sarawak.
Antara pencapaian membanggakan pasukan itu termasuk meraih gelaran Raja Sungai dalam Regata Bekenu 2023, Regata Pesta Berderun Balingian 2024 dan Regata Bintulu 2025.
“PBWS turut meraih tempat ketiga di Regata Sarawak serta tempat ketiga di Regata Linga 2025,” jelasnya.
Mengulas tentang penganjuran pertandingan lumba perahu di Mukah, beliau berkata, acara tersebut kali terakhir diadakan pada 2024 dan berharap ia dapat dianjurkan secara lebih konsisten pada masa depan.
“Kami berharap pertandingan seperti ini dapat diadakan setiap tahun kerana ia bukan sahaja menghidupkan sukan tradisional, malah mampu menarik penyertaan lebih ramai golongan muda,” tambahnya.
Dalam usaha memastikan kesinambungan sukan warisan itu, PBWS merancang beberapa langkah strategik termasuk penubuhan kelab sukan air sebagai wadah melatih bakat muda dari peringkat akar umbi.
Menurutnya, penganjuran pertandingan dengan tawaran hadiah yang menarik juga mampu meningkatkan minat masyarakat untuk menyertai sukan tersebut.
Beliau berharap sukan lumba perahu tradisional akan terus berkembang dan mendapat pengiktirafan yang lebih luas di peringkat antarabangsa.
“Penyertaan generasi muda secara berterusan amat penting bagi memastikan sukan warisan ini tidak luput ditelan zaman.
“Kami juga merakamkan penghargaan kepada semua penyokong yang sentiasa setia bersama PBWS.
“Diharapkan masyarakat terus memberikan sokongan dan mendoakan agar pasukan ini dapat melakar lebih banyak kejayaan pada masa depan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, perahu mereka merupakan hasil tangan Mohamad Norazelan Mohamad Bahron.



