NIBONG TEBAL: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang pekerja subkontraktor yang terjatuh dari tempat tinggi ketika menjalankan kerja pembersihan panel solar di sebuah kilang kertas di sini, semalam.
Pengarah JKKP Pulau Pinang, Hairozie Asri, berkata dalam kejadian pada jam 12.15 tengah hari itu, lelaki tempatan berusia 21 tahun berkenaan terjatuh dari bumbung lut sinar pada ketinggian 9.14 meter (30 kaki) di ruang pemunggah kilang tersebut.
“Mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Sungai Bakap. Sehubungan itu, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan Notis Larangan kepada pihak terlibat dan mengarahkan pemberhentian aktiviti kerja sehingga tindakan pembetulan dibuat.
“JKKP Pulau Pinang juga akan menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian dan tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang oleh pihak yang terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata setiap majikan dan kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya memastikan sistem kerja selamat disediakan, dinilai dan dipatuhi sebelum pekerja diarahkan menjalankan kerja berisiko tinggi.
Katanya, kegagalan berbuat demikian merupakan kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.—BERNAMA



