PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang menyiasat insiden kemalangan maut melibatkan seorang pekerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana 1, Kuala Selangor.
Menurut Bernaam, SPAN memaklumkan tindakan akan diambil terhadap operator atau kontraktor pemegang permit jika berlaku ketidakpatuhan prosedur atau pelanggaran Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).
Semakan awal mendapati kontraktor yang menjalankan kerja pencucian dan penyelenggaraan mempunyai permit berdaftar dengan SPAN. Bagaimanapun, terdapat kemungkinan berlaku pelanggaran prosedur keselamatan kerja di ruang terkurung.
SPAN memandang serius kejadian itu kerana melibatkan kehilangan nyawa. Dua pekerja dilaporkan mengalami kesulitan berhampiran kawasan scour point berdiameter 200 milimeter dengan seorang berjaya diselamatkan dan seorang lagi tersangkut.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), dengan punca kematian awal dipercayai akibat lemas. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) kini menjalankan siasatan lanjut dan akan mengeluarkan laporan penuh selepas siasatan selesai.



