ARTIKEL

BERCAKAP... Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak pada sidang media mengenai kes mendatangkan kecederaan dan membawa senjata melibatkan pelajar di sebuah sekolah swasta serta tangkapan sindiket pecah kubur di Miri di Pusat Media IPK Sarawak. Foto: Ghazali Bujang

Pelajar 16 tahun serang guru dengan kapak jalani penilaian psikiatri forensik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penilaian forensik psikiatri terhadap pelajar lelaki berusia 16 tahun yang mencederakan seorang guru dengan kapak di sebuah sekolah swasta di sini pada 21 Oktober lalu sedang dijalankan bagi menentukan tindakan lanjut terhadap suspek.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak Deputi Komisioner Polis (DCP) Saifullizan Ishak berkata, penilaian itu penting bagi membantu mengesahkan keadaan mental suspek ketika kejadian, sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

“Penilaian psikiatri forensik memerlukan kepakaran khusus bagi menilai sama ada suspek melakukan perbuatan itu dalam keadaan sedar atau di luar kawalannya.

“Kemudian, pihak pendakwa raya akan menentukan keputusan akhir terhadap suspek berdasarkan keputusan penilaian yang dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai kes mendatangkan kecederaan dan membawa senjata melibatkan pelajar di sebuah sekolah swasta serta tangkapan sindiket pecah kubur di Miri yang diadakan di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Menjawab soalan pemberita sama ada suspek akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau keluarga, beliau berkata keputusan itu bergantung kepada laporan akhir pihak psikiatri.

Beliau berkata, pihak polis giat menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian serta mendapatkan bukti berkaitan.

Siasatan itu termasuk mengambil keterangan 38 orang saksi yang terdiri daripada pelajar sekolah, guru, pengawal keselamatan, pakar perubatan dan ibu bapa suspek.

Dalam pada itu, polis merampas beberapa barang kes termasuk kapak, pisau, mercun, komputer dan gajet dari rumah suspek sebelum menghantarnya ke Jabatan Kimia dan Forensik untuk analisis lanjut.

“Pada masa sama, analisis forensik terhadap telefon bimbit dan komputer yang dirampas dari rumah suspek juga masih dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejadian itu berpunca daripada suspek yang mengalami kemurungan dan tiada sebarang bukti untuk mengaitkan unsur buli dalam kejadian itu.

“Bagaimanapun, pihak polis belum dapat membuat sebarang kesimpulan mengenai kes tersebut selagi laporan forensik berkenaan belum diterima.

“Sehubungan itu, saya menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes ini melibatkan suspek bawah umur,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, guru berusia 42 tahun yang mengalami luka pada tangan kiri akibat kejadian itu menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kuching dan dibenarkan pulang selepas keadaannya stabil.

Sementara itu, kertas siasatan kes itu dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 26 Oktober lalu dan kini masih dalam penelitian pihak pendakwaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Petinju BAD borong enam emas, dua perak di Sibu

MIRI: Petinju daripada Pembangunan Atlet Tinju Miri (BAD) mempamerkan reputasi hebat pada Kejohanan Tinju Siri 101 JAB Amatur 2026 yang berlangsung di Dewan Kelab Melayu