ARTIKEL

Pelajar Ditikam Di Sekolah Cedera Paru-Paru, Alami 16 Luka Tikaman – Bapa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LANGAT: Pelajar perempuan tingkatan tiga yang ditikam di sebuah sekolah di Banting di sini, cedera pada bahagian paru-paru selain turut mengalami kira-kira 16 luka tikaman pada bahagian badan dalam kejadian sekitar 9 pagi tadi.

Bapa mangsa Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata ketika kejadian beliau sedang bekerja sebelum menyedari terdapat beberapa panggilan tidak dijawab daripada pihak sekolah yang cuba menghubunginya untuk memaklumkan insiden berkenaan.

“Saya ketika itu sedang menyusun barang dan tidak perasan telefon saya berbunyi namun bila saya telefon semula pihak sekolah, saya ingat anak saya cuma tak sihat dan tak sangka dia menjadi mangsa tikaman.

“Setakat ini, saya dimaklumkan pasukan perubatan sedang berusaha mengeluarkan darah pada paru-paru kiri anak saya dan dia dalam keadaan stabil serta masih boleh bercakap,” katanya yang bekerja sebagai penghantar barangan ketika ditemui di Hospital Banting di sini hari ini.

Mohd Firuz turut meluahkan rasa kesal terhadap kejadian itu dan memohon pihak sekolah supaya mengetatkan tahap keselamatan agar kejadian sama tidak berulang.

Beliau turut difahamkan suspek adalah rakan sekelas anaknya ketika tingkatan dua dan kini sedang dicutikan bagi menjalani rawatan kesihatan.

“Saya rasa anak saya mungkin bukan sasaran asal suspek, mungkin dia nak sasar orang lain tapi mungkin dia yang paling dekat dan tak sempat nak lari. Jadi, dia yang kena,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam kenyataan memaklumkan suspek yang dipercayai menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Banting, Kuala Langat pagi tadi telah ditahan pihak polis.

JPN Selangor turut memaklumkan pelajar perempuan yang cedera sedang diberikan rawatan di Hospital Banting.
– BERNAMA

BERITA LAIN

ICQS Biawak: Kajian siap hujung tahun ini

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak masih dalam penelitian menerusi kajian kemungkinan Pelan Induk Pembangunan Kawasan Sempadan Sarawak. Menteri

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai