KUCHING: Cadangan pelaksanaan Program Perintis Dasar Dadah di Sarawak perlu dibawa ke peringkat Kabinet terlebih dahulu bagi mendapatkan lampu hijau, terutama kerana ia membabitkan aspek keselamatan dan perundangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkara itu susulan taklimat serta pandangan yang dikemukakan ahli Jawatankuasa Pusat Sehenti (OSC) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kesihatan.
Menurutnya, aspek keselamatan perlu diberi perhatian utama bagi memastikan sebarang pendekatan berkaitan isu dadah tidak menjejaskan keselamatan dan kestabilan Sarawak.
“Apa-apa tindakan yang berkaitan dengan isu keselamatan perlu dibincangkan dan mendapat lampu hijau daripada Kabinet, terutama apabila ia melibatkan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Drug Policy Program Malaysia (DPPM) di sini, hari ini.
Fatimah berkata, Kerajaan Sarawak melihat terdapat beberapa perkara positif dalam pendekatan yang dibentangkan DPPM, namun kesesuaiannya dengan keadaan serta kerangka perundangan sedia ada perlu diteliti terlebih dahulu.
“Kita harus melihat bagaimana model itu boleh digunakan dalam keadaan sedia ada kerana terdapat undang-undang yang jelas berkaitan isu yang kita bincangkan ini, iaitu penyalahgunaan dadah,” katanya.
Menurutnya, program perintis dasar dadah memberi penekanan kepada pendekatan rawatan dan sokongan terhadap individu yang menggunakan dadah, termasuk usaha menghubungkan mereka dengan sistem kesihatan bagi mendapatkan rawatan dan sokongan, selain pendekatan melalui sistem keadilan jenayah.
Bagaimanapun, pelaksanaan program berkenaan di Sarawak memerlukan penelitian lanjut kerana turut menyentuh aspek bidang kuasa, perundangan dan keselamatan yang memerlukan keputusan di peringkat lebih tinggi.
“Kerajaan Sarawak akan meneliti kesesuaian Program Perintis Dasar Dadah dengan struktur, perkhidmatan dan kerangka perundangan sedia ada sebelum sebarang keputusan pelaksanaannya dibuat,” katanya.
Terdahulu, Pengarah DPPM, Palani Narayanan berkata pihaknya kembali ke Sarawak bagi mengadakan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk mengenal pasti pendekatan yang sesuai dengan keperluan negeri ini.
Katanya, perbincangan itu bertujuan memastikan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta keluarga mereka mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan, rawatan dan sokongan yang diperlukan.



