KUCHING: Pelan pembangunan semula Bukit Assek perlu dilaksanakan dengan segera bagi meremajakan jantung Bandar Sibu selepas dua dekad tertangguh ekoran pelbagai cabaran.
ADUN Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, kawasan Bukit Assek merupakan zon binaan tertua dan paling padat di Sibu, dengan infrastruktur yang semakin usang, tanah rendah yang mudah banjir dan sistem saliran serta sanitasi ketinggalan zaman.
“Pembangunan semula Bukit Assek bukanlah projek pembaharuan bandar, sebaliknya hala tuju masa depan Sibu dan cerminan keupayaan kerajaan untuk menunaikan janji bagi meremajakan jantung bandar Sibu itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (2026) 2025 pada Persidangan DUN Sarawak ke-19, hari ini.
Jelasnya, harapan rakyat dengan projek pembangunan semula Bukit Assek sangat tinggi ekoran telah lama menanggung banjir, infrastruktur yang ketinggalan zaman dan kerosakan bandar di kawasan Bukit Assek.
Beliau turut meminta kerajaan agar membina sebuah loji rawatan air yang menggunakan sistem akut di kawasan Sungai Sadit di Bawang Assan.
Menurutnya, infrastruktur yang semakin tua dan saluran paip yang rosak menyebabkan air tidak terhasil (NRW) sangat tinggi, dianggarkan 46 peratus di Sibu.



