Pelancong temui orkid baharu

KUCHING: Perasmian karnival Asia Pacific Orchid Conference (APOC) 2019 di BCCK semalam mendapat sambutan memberangsangkan pencinta orkid dari dalam dan luar negara.

Menurut Collin Thorbun, pengunjung yang berasal dari UK, dia mengetahui mengenai APOC setelah melawat ke Taman Orkid di Kuching setahun lalu.

“Saya sering mengikuti persidangan orkid di serata dunia dan melihat pelbagai jenis tumbuhan orkid.

“Namun apa yang menarik berkenaan dengan APOC di sini adalah cara penyusunan dan pameran orkid di sini sangat unik dan seolah-olah berada di hutan sebenar.

“Sarawak kaya dengan tumbuhan hijau. Saya begitu tertarik dengan cara pameran orkid di sini yang dilakukan menggunakan keunikan dan kebudayaan yang ada di Sarawak seperti menerapkan elemen Burung Kenyalang,” ujar Collin.

Dia beharap APOC yang akan berlangsung di Singapura kelak boleh mempamerkan keunikan dan keindahan tersendiri yang terdapat di Singapura seperti ditunjukkan di sini.

Manakala menurut Paul Armstrong yang berasal dari Australia, dia merupakan pencinta tumbuhan orkid dan sering mengikuti pameran orkid di merata dunia.

“Saya mencari orkid yang menarik dan nampak seperti luar biasa.

“Di sini saya sudah menjumpai beberapa jenis tumbuhan orkid seperti vanda dan dendrobium yaya.

“Tumbuhan orkid yang terdapat di sini jarang dijumpai di Australia. Ini merupakan penemuan baharu dalam pengetahuan saya,” katanya.

Paul berharap pada APOC yang akan datang, lebih banyak lagi jenis tumbuhan orkid dipamer dan dipertandingkan serta orang ramai lebih menghargai tumbuh-tumbuhan yang ada di Asia kerana unik dan hanya terdapat di Asia.

Sementara itu, Datuk Ramsy Ong yang berasal dari Kuching mengatakan terdapat pelbagai jenis tumbuhan orkid yang jarang dilihat di sini.

“Banyak tumbuhan orkid yang dijaga dan dirawat dengan kualiti yang baik di sini.

“Antara yang menarik perhatian saya adalah bunga orkid daripada peserta Thailand.

“Ia sangat cantik dengan warna yang pelbagai dan menarik,” kata Ramsay.

Dia berharap penduduk tempatan menanam minat dalam bidang penanaman orkid kerana orkid di

Borneo sangat unik dan popular di negara luar serta menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke sini.

Bagi Amijah Kasmin dari Kuching, melalui pameran orkid di sini, dia dapat mengetahui dengan lebih banyak mengenai ilmu dan nama saintifik bagi tumbuhan orkid.

“Saya mempunyai kebun orkid di rumah. Kami sekeluarga sangat beminat dalam bidang penanaman tumbuhan ini sejak dua tahun lepas.

“Di sini saya dapat membeli benih orkid yang berasal dari luar negara kerana di pasaran tempatan sangat sukar untuk mendapatkan anak benih orkid tersebut. Contohnya orkid vanda chule,” tambahnya.

Amijah juga beharap masyarakat lebih peka dan menghargai tumbuhan yang terdapat di Sarawak kerana ia merupakan khazanah utama dalam negeri ini.

Suara Sarawak