KUALA LUMPUR: Dato’ Mohammad Medan Abdullah dilantik semula sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi tempoh dua tahun bermula 1 Ogos 2025 hingga 31 Julai 2027.
Pelanjutan pelantikan itu mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap kepakaran, pengalaman luas serta dedikasi beliau dalam memperkukuh tadbir urus dan hala tuju strategik agensi berkenaan.
Beliau dilihat memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda pemerkasaan eksport negara selain memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat perdagangan antarabangsa.
Menurut kenyataan Pejabat MATRADE Sarawak, pihaknya amat berbangga dengan sumbangan berterusan Mohammad Medan yang sentiasa memberi dorongan dan bimbingan kepada usahawan negeri itu.
“Sokongan dan komitmen beliau banyak membantu memperkukuh jaringan serta keupayaan eksport para usahawan di Sarawak, seterusnya melonjakkan potensi perdagangan luar negeri ini,” katanya.
Tambah kenyataan itu, semangat dan kepimpinan beliau terus menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga kerja MATRADE khususnya di Sarawak.
Sumbangan dan kepakaran Mohammad Medan diyakini akan terus memberi impak positif kepada pembangunan perdagangan luar negara dan memperkukuh peranan MATRADE sebagai peneraju utama eksport negara.
Pelantikan semula itu turut dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau yang konsisten serta keberkesanan sumbangannya dalam sektor perdagangan dan eksport negara.


