KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pelbagai aktiviti berimpak tinggi akan diketengahkan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai semua lapisan masyarakat termasuk yang berteraskan aspek kesejahteraan rakyat seperti perkhidmatan berkaitan pengurusan kos sara hidup, pemeriksaan kesihatan, khidmat nasihat sosial dan lain-lain lagi.
Menurut Ewon secara keseluruhannya bilangan program dan aktiviti yang disediakan pada kali ini termasuklah 36 reruai kementerian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan agensi selain 204 perkhidmatan sentuhan nadi rakyat serta Jualan MADANI melibatkan 158 usahawan.
“PMR turut menampilkan empat agensi dengan pameran aset kerajaan, 15 majikan di Karnival Kerjaya yang menawarkan 608 kekosongan jawatan serta 64 program libat urus di atas pentas selain penganjuran program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
“Usaha ini diharap dapat membuka ruang pekerjaan dan memperkasakan belia dengan kemahiran yang relevan serta diperlukan dalam pasaran kerja semasa,” katanya.
Beliau berkata tujuh program satelit dilaksanakan di sekitar Tawau sejak 3 Mei lepas sehingga 11 Mei ini antaranya gotong-royong di Pulau Sebatik yang memfokuskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti membaik pulih gelanggang futsal awam, penambahan lampu solar di gelanggang futsal dan sekitar jeti serta baik pulih dinding perpustakaan awam.
Selain itu, Program Halal Success KUSKOP di Kolej Komuniti Tawau bertujuan meningkatkan kesedaran kepentingan pemilikan pensijilan halal Malaysia dan memberi pendedahan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Tawau berkaitan peluang mengembangkan perniagaan.
“Terdapat juga Program JOM@COOP di Hotel Royale Borneo Tawau anjuran Institut Koperasi Malaysia IKM Cawangan Tawau dan program gotong-royong di Projek Perumahan Rakyat Batu 8, Tawau bagi membaik pulih gelanggang futsal dan pemasangan solar,” katanya.
Ewon berkata KUSKOP turut membawakan kelainan dengan pelancaran showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang merupakan inisiatif pembangunan ekonomi tempatan dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan potensi produk yang unik di setiap daerah.
“SDSI terbukti berjaya memperkasakan komuniti tempatan. Buktinya SDSI berjaya membantu industri sarang burung walet di Pitas dengan peningkatan jualan tahunan 33.4 peratus daripada RM102,690 kepada RM137,016 selepas hanya enam bulan berada di pasaran,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pelaksanaan SDSI turut membantu industri ikan liking di Kota Belud meningkatkan purata jualan tahunan sebanyak 20.44 peratus daripada RM52,114 kepada RM62,765.20.– BERNAMA



