SUNGAI Tweed di Gold Coast, Australia terkenal sebagai antara lubuk ketam saiz ‘gergasi’ yang menjadi kegilaan penduduk tempatan dan warga asing.
Bukan sahaja enak, tetapi isinya lunak, menyebabkan makanan laut itu sebagai hidangan istimewa di kebanyakan restoran, negara Kanggaru itu
. Apabila tiba musimnya dan kena pada airnya, lontar sahaja bubu (perangkap) dan tunggu, pasti ada ketam di dalamnya, malah jangan terkejut, jika ada empat hingga lima ekor ketam bersaiz besar yang berebut umpan
. Petua orang tua-tua, jika ingin menangkap ketam, sama ada dengan menggunakan bubu, pento atau menggunakan jolok besi, tunggulah ketika bulan gelap, pada penghujung setiap bulan dalam Kalendar Islam, atau awal bulan.
Pada bulan gelap, ketam lebih berisi, bebanding ketika bulan terang. Ia kerana pada bulan gelap, ketam lebih mudah untuk mendapatkan sumber makanan di habitatnya, manakala pada bulan terang, sukar bagi ketam untuk menangkap mangsa, kerana mangsa mudah untuk mengesan kelibat ketam, dan lari sebelum disepit.
Kebiasaannya ketam akan keluar dari lubuk (lubang) ketika air pasang besar, untuk mencari makanan, terutama ketika musim air masin.
Ia akan berkeliaran dan lebih gemar berada di kawasan yang agak cetek
. Apakah rahsia saiz besar ketam dengan jumlah yang banyak di Sungai Tweed?
Ia adalah kerana penguatkuasaan undang-undang negara berkenaan, yang menjadikan sungai dan habitatnya sebagai alam semula jadi yang mesti dipulihara, daripada pencemaran.
Ketam yang ditangkap hendaklah menepati saiz yang sesuai. Jika kurang daripada saiz minimum untuk ditangkap, maka ketam tersebut akan dilepaskan, walaupun kelihatan agak besar.
Malah jika ada ketam betina yang sedang bertelur ditangkap, juga akan dilepaskan bagi memastikan lahirnya ketam baharu, sekali gus mengekalkan ekologi spesies bersepit itu, agar berterusan dari generasi ke generasi.
Setiap nelayan atau penangkap ketam di Gold Coast mempunyai tanggungjawab dan kesedaran yang tinggi dalam hal Ini.
Mereka sentiasa bekerjasama, memulihara serta memelihara sungai dan hidupan liar, agar sumbernya berkekalan, malah bertambah banyak dari semasa ke semasa. Berlainan pula di negara kita, boleh sahaja menangkap ketam pelbagai saiz, semuanya ‘disapu’ habis.
Begitu juga dengan udang dan ikan.
Di zon tengah Sarawak misalnya, tempat yang menjadi lubuk ketam.
Menurut salah seorang nelayan sambilan di wilayah tersebut, di sini terdapat begitu banyak ketam sekitar era 80-an hingga tahun 2000. Namun ia semakin berkurangan, dan kini jumlahnya menyusut teruk.
Katanya, ada kalangan nelayan sambilan yang menangkap ketam tanpa mengira saiz, daripada sekecil-kecilnya, semua ditangkap, malah teruja apabla berjaya menangkap ketam betina yang sedang bertelur.
“Keadaan ini menyebabkan populasi ketam semakin mengecil… malah ada ketikanya langsung tiada, terpaksa menunggu setahun dua, untuk kembali menangkap ketam,” ujarnya.
“Sekiranya penangkap ketam mempunyai kesedaran yang tinggi dengan penjagaan habitat sungai, saya percaya ketam di sini akan kekal banyak,” katanya.
Menurutnya lagi, situasi yang sama berlaku di sungai yang mempunyai banyak udang, namun oleh kerana pencemaran akibat sikap tidak bertanggungjawab, menyebbakn spesiesnya semakin berkurangan.
Oleh itu, sebanyak mana pun anak ketam, anak udang atau ikan yang dilepaskan di sungai kita, tidak akan membawa sebarang makna, jika tiada perubahan sikap dalam kalangan masyarakat kita khususnya nelayan sambilan ini.
Kita bukan sahaja perlu menjaga sungai agar sentiasa bersih tetapi jiga perlu menjaga hidupan liar di dalamnya yang menjadi sumber makanan dan pendapatan.
Selasa lalu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024.
Ia bertujuan menggantikan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar [Bab 84] (Edisi 1958), yang telah melalui beberapa pindaan sejak 1949 untuk memenuhi keperluan pengurusan sumber dan alam sekitar yang semakin kompleks.
RUU ini bakal memberikan kawalan sepenuhnya kepada Sarawak dalam aspek pemuliharaan sumber asli, pengurusan alam sekitar dan pembangunan mampan.
RUU ini menyediakan asas undang-undang yang moden dan komprehensif untuk Sarawak mentadbir dan melindungi alam sekitar, sejajar dengan piawaian global dalam usaha mencapai pembangunan lestari Ia bermakna Sarawak mendapat kuasa untuk menguatkuasakan piawaian kualiti udara, air, dan tanah bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar yang lebih sihat, bersih dan selamat.
Menurut Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, dengan kawalan penuh terhadap sumber asli dan alam sekitar, Sarawak dapat merancang projek pembangunan sosioekonomi secara mampan, seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu.
RUU ini tepat pada masanya, memastikan bahawa projek transformasi sosioekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih lestari.
Sementara itu, hukuman denda tidak melebihi RM20 juta serta penalti yang boleh meningkat sehingga sepuluh kali ganda bagi individu yang disabitkan kesalahan berkaitan pencemaran alam sekitar adalah satu pendekatan pencegahan, bukannya sekadar untuk menghukum.
Penalti yang diperkenal dalam RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 itu bertujuan menjadi penghalang terhadap aktiviti yang merosakkan alam sekitar serta memberi pampasan kepada mereka yang terkesan
. Penalti kewangan ini adalah salah satu langkah penting bagi memastikan kepatuhan terhadap peraturan alam sekitar
. Ia bukan sahaja memberi amaran kepada pihak yang melanggar undang-undang, tetapi juga menggalakkan pematuhan melalui potensi kerugian kewangan, mempengaruhi keputusan ekonomi dan strategi kawalan kendiri.
RUU berkenaan turut memperuntukkan pelesenan bagi aktiviti terhad seperti penempatan sisa dan pengangkutan bahan tercemar, akan mengurangkan pencemaran melalui kawalan ketat dan pemantauan yang lebih berkesan terhadap aktiviti yang berisiko tinggi. Isu alam sekitar bukan sahaja berlaku di Sarawak, tetapi merupakan isu global dan memerlukan pendekatan efisien dan menyeluruh.
Perubahan iklim dengan faktor cuaca tidak menentu memberi impak besar terhadap negara dan Sarawak khususnya seperti isu keterjaminan makanan, banjir, kemarau dan sebagainya.
Yang pasti, alam sekitar merupakan khazanah alam yang tidak ternilai harganya.
Di Bumi Kenyalang, kita cukup bertuah kerana mempunyai persekitaran fauna dan flora yang begitu indah dan luas.
Kerajaan Sarawak sedar bahawa ia merupakan aset penting negeri, dan menjadikan ia sentiasa terpelihara. Sebagai masyarakat yang mencintai bumi bertuah ini, semua kita mempuyai tanggungjawab masing-masing dalam pemuliharaan anugerah Illahi ini, agar ia kekal terpelihara dan dapat dinikmati generasi akan datang.



