Peluang pekerjaan kini bukan sahaja terbuka kepada golongan muda, malah warga emas yang masih sihat, berkemahiran dan bermotivasi turut mempunyai peluang yang sama.
PERKESO terus memperluas bantuan penempatan pekerjaan kepada pelbagai golongan, termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan bekas banduan melalui platform MyFutureJobs.
Suara Sarawak berpeluang menemu bual Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Negeri Sarawak, Sabrina Wilson Dakau, tentang peluang pekerjaan untuk warga emas melalui MyFutureJobs.
Boleh kongsikan sedikit tentang program ini?
Program yang dilaksanakan bersama-sama Kelab Digital Warga Emas ini memberi fokus kepada penempatan pekerjaan untuk warga emas.
Sebelum ini, apabila membicarakan soal pencarian pekerjaan, kebanyakan orang menganggap bahawa peluang tersebut hanya tertumpu kepada golongan lepasan atau belia.
Namun, di PERKESO, kami membuka peluang kepada semua golongan. Kami membantu warga emas, orang kurang upaya (OKU), bekas banduan dan sesiapa sahaja yang sedang mencari pekerjaan.
Apakah fokus utama program ini?
Memperkenalkan peluang pekerjaan kepada warga emas serta memberikan penerangan tentang platform MyFutureJobs. Ramai yang mengenali PERKESO hanya sebagai agensi yang menguruskan faedah perlindungan sosial. Namun, dari semasa ke semasa, peranan PERKESO berkembang menerusi pelbagai inisiatif bagi membantu masyarakat mendapatkan pekerjaan.
Apakah peluang pekerjaan yang tersedia di Sarawak untuk warga emas?
Bagi peluang pekerjaan di Sarawak, MyFutureJobs menawarkan pelbagai jawatan yang sesuai dengan kemampuan warga emas. Kami mengutamakan pekerjaan yang tidak terlalu berat dari segi fizikal, sebaliknya lebih kepada pekerjaan yang bersesuaian seperti jawatan kerani, jawatan dalam bidang pentadbiran dan jawatan lain yang sesuai.
Bagaimanakah platform MyFutureJobs membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan yang sesuai?
Platform MyFutureJobs berfungsi dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Sebagai contoh, apabila pencari kerja mengisi maklumat dan memilih jenis pekerjaan yang dikehendaki, sistem akan membuat padanan secara automatik.
Oleh sebab itu, terdapat dua pilihan dalam portal tersebut, iaitu Matching Jobs dan Search Jobs. Bahagian Matching Jobs memaparkan jawatan yang benar-benar sesuai dengan kelayakan pengguna, sekali gus mengelakkan mereka daripada memohon pekerjaan yang tidak memenuhi syarat.
Sejak bila platform ini diwujudkan?
Sejak 2018 dan banyak membantu rakyat mendapatkan pekerjaan. Penggunaannya menjadi lebih meluas ketika pandemik COVID-19 apabila ramai kehilangan pekerjaan.
Pada waktu itu, PERKESO memperluas lagi perkhidmatan MyFutureJobs kepada semua golongan masyarakat.
Berdasarkan statistik terkini, berapakah jumlah penempatan pekerjaan dan warga emas yang telah berdaftar dalam MyFutureJobs?
Berdasarkan statistik bagi Sarawak, sehingga bulan ini terdapat kira-kira 2,000 hingga 3,000 penempatan pekerjaan bagi tahun ini.
Statistik keseluruhan akan diumumkan pada penghujung tahun kerana pengiraan dibuat mengikut negeri.
Selain itu, berdasarkan statistik yang telah kami bentangkan, terdapat ramai pencari kerja berumur 60 tahun ke atas yang berdaftar dengan MyFutureJobs.
Apakah maklum balas yang diterima sejak platform ini diwujudkan?
Sangat positif, khususnya daripada golongan yang sedang mencari pekerjaan.
Sesi temu duga secara walk-in diadakan secara berkala, sama ada setiap minggu atau setiap bulan, selain melalui karnival kerjaya tahunan di peringkat negeri.
Apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh pencari kerja sebelum menghadiri program ini?
Bagi pencari kerja, terdapat beberapa persediaan yang perlu dilakukan.
Pertama, sediakan resume yang lengkap. Kedua, bawa semua dokumen penting seperti kad pengenalan, salinan kad pengenalan dan dokumen sokongan lain.
Selain itu, bawa juga pen untuk mengisi borang. Yang paling penting ialah membuat persediaan dari segi mental dan fizikal sebelum menghadiri temu duga.
Apakah perkara paling penting yang perlu dilakukan sebelum mencari pekerjaan?
Perkara yang paling penting ialah pencari kerja perlu mengetahui jenis pekerjaan yang ingin diceburi. Jika seseorang tidak pasti tentang pekerjaan yang diinginkan, proses pencarian pekerjaan akan menjadi lebih sukar.
Keadaan ini sering berlaku apabila pencari kerja hadir ke kaunter pendaftaran dan bertanya, “Cik, pekerjaan apa yang sesuai untuk saya?” Oleh itu, mengenal pasti minat dan bidang pekerjaan yang ingin diceburi merupakan langkah pertama yang sangat penting.
Mengapa warga emas masih berminat untuk bekerja?
Saya sendiri mempunyai pengalaman peribadi kerana ibu saya juga seorang pesara. Namun, faktor kesihatan menyebabkan beliau tidak lagi mampu bekerja. Walaupun begitu, peluang pekerjaan tetap terbuka kepada semua warga emas yang masih sihat, bermotivasi dan tidak mempunyai komitmen yang menghalang mereka untuk bekerja.
Apakah harapan anda terhadap pelaksanaan program ini untuk pada masa hadapan?
Lebih ramai majikan membuka minda dan memberi peluang kepada semua golongan, bukan sahaja warga emas tetapi juga golongan lain yang ingin kembali bekerja.
Bagaimanakah warga emas boleh mendapatkan peluang pekerjaan ini?
Bagi warga emas yang berminat mencari pekerjaan, mereka boleh memuat turun aplikasi MyFutureJobs PERKESO melalui App Store atau Google Play.
Selain itu, mereka juga boleh melayari laman web myfuturejobs.perkeso.gov.my untuk membuat pendaftaran dan mencari peluang pekerjaan.



