Pemandu maut dihempap jentera penggelek jalan

SARIKEI: Seorang pemandu jentera penggelek jalan maut selepas dihempap kenderaan yang dikendalikannya dalam satu kejadian di Pakan, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Bomba Sarawak memberitahu, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Kung Teck Keong, 40, meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, bomba bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.20 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati kenderaan yang dipandu terjatuh dan terbalik.

“Kami memulakan operasi dengan mencangkul tanah bagi memudahkan mangsa untuk dikeluarkan dari bawah kenderaan itu. Setelah mangsa berjaya di keluarkan pada 12.50 tengah hari, mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, ” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut saksi, kemalangan dipercayai berlaku sekitar 10:30 pagi namun maklumat mengenainya lambat diterima oleh pihak bomba.

“Malah untuk sampai di tempat kejadian sejauh 62 kilometer (km) itu, pasukan bomba melalui jalan ladang kelapa sawit yang berbukit-bukau dan keadaannya jalan kurang baik,” katanya.

Suara Sarawak