Pembangunan Sarawak selari dengan pengurusan hutan mampan

BINTULU: Anggaran 600 orang terdiri daripada ketua jabatan kerajaan dan swasta, pemimpin masyarakat, warga pendidik dan pelajar sekolah di sekitar bahagian ini menghadiri sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak 2019 bertempat di Dewan Sri Kenyalang,Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu,di sini.

Simbolik perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II,Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.

Tema sambutan ‘Forests and Education’ pada tahun ini dilihat amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan yang menginginkan pembangunan di negeri ini terutama di kawasan bandar diselarikan dengan pengurusan hutan mampan.

Pelbagai aktiviti sampingan seperti penanaman pokok di sekitar bandar Bintulu hasil usahasama Jabatan Hutan Sarawak dengan Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu,pelancaran buku,pameran oleh agensi- agensi perhutanan, pemeriksaan kesihatan dan sukaneka.

Selain itu, Jabatan Perhutanan  dengan kerjasama UPMKB juga bakal menganjurkan perkhemahan bersama pelajar pelajar sekolah menengah di Bahagian Bintulu bermula 15-17 Mei depan di Taman Negara Simalajau melibatkan penyertaan seramai 40 orang pelajar.

Antara agensi agensi yang terlibat dengan pameran adalah Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Sarawak Forestry Corporation Sdn. Bhd, Hardwood Timber Sdn. Bhd, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Sarawak Timber Association (STA).

Suara Sarawak